Artikel

Kaedah mengajar agama perlukan perubahan

- Diterbit 21 Februari 2020 4:41 AM MYT

 

SATU perkara yang menjadikan orang merasa tidak selesa untuk melakukan sesuatu ialah kerana ketika dia diberikan satu tanggungjawab, maka dia sering bertanya; “Kenapakah aku harus melakukannya?”

Anak-anak di zaman ini sering diajar untuk menerima sesuatu ajaran Islam tanpa perlu dikemukakan hikmat syariah tanpa diberikan sebarang sebab pentafsiran yang berpijak di alam ini.

Iaitu tentang banyak persoalan yang timbul di dalam minda mengenai tanggungjawab dan kewajipan yang seharusnya dipenuhi sebagai seorang Muslim.

Anak-anak yang berumur 3 hingga 9 tahun umpamanya, banyak sekali disumbatkan tentang syurga dan neraka, sedangkan mereka sendiri tidak dapat menggambarkan secara nyata apakah syurga atau neraka itu.

Praktikal

Oleh itu, kaedah mengajar agama di peringkat prasekolah atau sekolah rendah atau mengembangkan ajaran agama kepada masyarakat umum yang belum memahami falsafah dunia dan akhirat, syurga dan neraka, hendaklah diolah sebegitu rupa dari perspektif yang lebih dekat dengan world view atau tasawwur Islam yang lebih lojik dan praktikal.

Dalam konteks ibadat puasa, solat dan ibadat lain, malah mengerjakan haji, sememangnya merupakan kewajipan yang dilakukan kerana perintah Allah SWT tetapi perlu juga memberikan contoh dan rasional akli.

Jawapan lebih mudah perlu diberikan dan agak praktikal bagi orang-orang yang sukar untuk memahami falsafah dan matlamat ibadat secara ghaib, apa lagi hanya memberikan
alasan dari ayat Al-Quran dan Hadis.

Daripada bertanyakan soalan agama agak abstrak umpamanya, “Kenapakah seorang itu wajib berpuasa Ramadhan?”, maka soalan itu bolehlah diolah semula selepas menjelaskan bahawa puasa adalah ibadat yang wajib kita lakukan.

Banyak fakta lojik dan nyata yang dapat diberikan terhadap persoalan ini dan orang yang bertanya akan mulai memahami sesuatu yang selama ini mungkin tidak diketahuinya.

Contohnya, kelebihan puasa terhadap kesihatan dan fizikal manusia, nilai hidup yang lebih berbentuk kepentingan kesihatan, kesabaran, kekuatan menghadapi cabaran dan keazaman mengurus masa.

Fakta akal dan pemikiran serta psikologi, haruslah didahulukan dengan kewajipan seorang Islam terhadap amalan fardu ain yang diperintahkan Allah.

Kemudian berikanlah faktafakta sosial, kekeluargaan dan kemasyarakatan umumnya untuk memberikan keyakinan tentang tugas dan kewajipannya kepada Allah, makna alam ghaib dan akhirat, syurga neraka, dosa pahala dan sebagainya, disamping memahami dengan baik pengajaran dan makna ibadat yang mesti di lakukan untuk kepentingan diri dan masyarakat.

Alangkah baiknya kalau hal ini dapat dikaji secara mendalam ketika kita sering tertanya-tanya kenapakah pelajaran agama diajar di sekolah selama ini tidak memberikan kesan yang baik kepada pembentukan tingkah laku dan akhlak anak-anak muda kita sekarang.

Datuk Dr. Ismail Ibrahim merupakan bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan bekas Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas