Selebriti

Kabir Bhatia, Erma Fatima inspirasi Syamsul Yusof

- Diterbit 30 November 2021 10:06 PM MYT

“SEMUA orang boleh kritik, tapi kena ada ilmu. Perlu tahu bezakan kritikan dan hinaan,” begitulah kata-kata pelakon dan pengarah prolifik, Syamsul Yusof, 37, mengenai kehadiran pengkritik filem yang muncul menghangatkan industri hiburan tempatan.

Mengalu-alukan kehadiran pengkritik filem dalam kalangan YouTuber, anak kepada penerbit terkenal Datuk Yusof Haslam ini mengingatkan agar golongan terbabit perlu mempunyai ilmu.

“Saya sudah lama mengarah. Saya daripada generasi sebelum ini lagi dan ramai yang seangkatan saya sudah memperlahankan kerjaya.

“ Sama juga dalam kritikan filem, orang bercakap filem pun sudah berbeza. Apatah lagi sekarang era media sosial dan semua perkara nak komen. Bagi saya tak salah, tapi kena sesuai atau tidak.

“Nak kritik kena bijak. Kalau orang tidak suka filem saya, okay saja. Apa yang penting saya puas. Saya juga tidak boleh puaskan hati semua orang. Saya bukan nak cakap saya bagus, tapi saya ada ilmu sendiri. Seseorang yang berjaya, pasti ada yang tak suka atau ‘haters’, itu perkara biasa. Jadi kuatkan mental dan fokus pada karya,” katanya.

Syamsul merupakan pemenang trofi Pengarah Terbaik paling muda pernah memenangi anugerah Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM 23) iaitu pada usia 25 tahun menerusi filem Evolusi KL Drift 2.

Syamsul turut mengulangi kejayaan sama pada FFM 24 menerusi filem KL Gangster dan FFM 28 bagi filem Munafik.
Lebih membanggakan, Syamsul juga memenangi Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-57 menerusi filem Munafik.

Filem arahannya, Munafik 2 menjadi filem tempatan nombor satu apabila meraih kutipan mencecah RM48 juta.

Dalam pada itu, Syamsul turut mendedahkan dia begitu menggemari hasil tangan pengarah terkenal seperti Kabir Bhatia, Erma Fatima dan Datuk Paduka Shuhaimi Baba.

“Kalau nak kata siapa pengarah yang saya suka antaranya Khabir Bhatia, Erma Fatima dan Shuhaimi Baba. Nak menjadi pengarah bukan mudah. Kak Erma mengarahkan filem Embun. Begitu juga dengan filem sentuhan Shuhaimi Baba. Saya tabik mereka sebagai pengarah wanita.

“Kalau mereka boleh buat, takkan saya tak boleh. Jadi, mereka antara pengarah hebat yang saya suka dan saya sudah kaji filem mereka. Saya mengkaji banyak cabang. Saya bukan jenis yang tengok sekejap saja,” katanya.

Pengarah Munafik dan KL Gangster itu berkongsi perkara terbabit pada sesi Instagram (IG) Live menerusi topik Persediaan Menjadi Pengarah Tanpa Gagal.

IG Live Bersama Penggiat Seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) ini dikendalikan moderator Nik Syafiq dan Aswad Jalil diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang bakal berlangsung pada 10 Disember ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas