Berita

Julang Piala Malaysia, kemenangan ditagih KL City FC – Mahadi

PASUKAN KL City FC gembira julang Piala Malaysia selepas kemarau 32 tahun.
- Diterbit 1 Disember 2021 7:07 AM MYT

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah menyifatkan kemenangan menjulang Piala Malaysia sebagai suatu perkara yang sangat ‘ditagihkan’ warga kota khususnya pemain Kuala Lumpur City FC sendiri.

Ini kerana, kata beliau, sudah lama Kuala Lumpur tidak memegang atau mempunyai kejuaraan seumpama itu dan terakhirnya 32 tahun lalu (1989).

Mengimbau zaman kegemilangan pada penghujung 80-an, ujar beliau, semasa memulakan perkhidmatan sekitar tahun 1983, Datuk Bandar ketika itu, Tan Sri Elyas Omar begitu mementingkan kemajuan sukan.

“Beliau (Tan Sri Elyas) sendiri hebat dalam sukan berbasikal selain menjadi ketua bola sepak dan badminton. Malah sanggup korbankan masa bersama keluarga semata-mata mahu menjadi ‘champion‘ dalam sukan-sukan tertentu.

“Tan Sri juga tidak mahu saguhati, jadi usaha dia kuat termasuk mengambil pemain-pemain bola. Jadi kita pun bersemangat,” katanya ketika diminta mengulas tentang kejuaraan KL City FC malam tadi.

Dalam pada itu, Mahadi berharap, Kuala Lumpur akan sentiasa mempunyai warga yang boleh membawa kecemerlangan dan kegemilangan di masa akan datang.

Tambahnya, dengan sokongan semua pihak, tidak mustahil Kuala Lumpur menjadi bandar yang cemerlang dalam semua aspek sekali gus menjadi pilihan di dunia.

Semalam, Taktikal Bojan Hodak untuk tidak membenarkan gol awal diperoleh Johor Darul Ta’zim ( JDT) membuahkan hasil apabila KL City FC berjaya melakar kemenangan 2-0 dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas