Berita

Juara dunia kini jurulatih wushu

JACK CHANG sedar tugas sebagai jurulatih lebih sukar.
- Diterbit 13 Mei 2020 4:57 AM MYT

KUALA LUMPUR – Beralih arah ke bidang kejurulatihan bukanlah satu tugas mudah buat bekas juara dunia wushu, Loh Jack Chang yang kini bergelar jurulatih wushu Wilayah Persekutuan.

Bekas atlet kebangsaan yang berusia 33 tahun itu mengakui dia masih belum diuji sepenuhnya untuk membimbing atlet wushu Wilayah Persekutuan menerusi kejohanan tempatan atau antarabangsa.

“Cabaran sebagai jurulatih lebih tinggi. Kalau dulu selaku atlet kami hanya perlu fokus kepada acara dan latihan sendiri sahaja tetapi kini saya perlu memastikan atlet yang dibimbing menempah kejayaan,” ujarnya yang memulakan kerjaya sebagai jurulatih akhir tahun lalu.

Tambahnya lagi, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia hanya dapat melatih atletnya menerusi panggilan video bagi memastikan anak didiknya terus menjalani latihan.

“Cabaran sebenar latihan dalam tempoh ini ialah fizikal kerana saya tidak dapat melihat sepenuhnya pergerakan atlet. Kalau ada sebarang kesilapan, saya tidak dapat mengawalnya dengan teliti,” ujar Jack.

Jack Chang yang mempunyai reputasi sebagai bekas juara dunia acara taijiquan dilihat tidak berdepan masalah, namun dia tetap menganggap tugasan sebagai jurulatih jauh lebih sukar.

“Selain perlu menjaga semua atlet, saya juga berpeluang untuk berkongsi kemahiran dan pengetahuan kepada atlet muda,” katanya.

Sukan Wushu antara sukan wajib yang akan dipertandingkan di SUKMA Johor yang akan berlangsung pada 06 hingga 14 Mac 2021. Acara ini akan diadakan di Dewan Serbaguna, Taman Johor Jaya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas