Berita

Juara bertahan Chen Long singkirkan Zii Jia

HARAPAN Lee Zii Jia untuk melangkah jauh dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 kali ini berakhir di tangan juara bertahan, Chen Long, dari China selepas tunduk 1-2 sebentar tadi. Gambar - Stadium Astro
- Diterbit 29 Julai 2021 2:32 PM MYT

 PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menampilkan aksi cemerlang sebelum tewas  21-8, 19-21, 5-21 kepada juara bertahan Chen Long dalam pusingan 16 terbaik di Musashino Forest Sport Plaza di sini hari ini.

Zii Jia, 23, yang membuat penampilan sulungnya di temasya Sukan Olimpik, mencuri tumpuan dengan aksi memberangsangkan walaupun gagal mara ke peringkat suku akhir.

Walaupun mengalami kecederaan di pergelangan tangan kanannya ketika mendahului 2-1 pada set pertama, juara All England itu tetap meneruskan aksi untuk menumbangkan bintang China berusia 32 tahun itu dengan kemenangan besar.

Bagaimanapun, pemain berpengalaman yang kali terakhir beraksi 18 bulan lalu ketika tewas di tangan Zii Jia pada suku akhir All England, telah berjaya mengawal tekanan sekali gus meraih kemenangan tipis 21-19 di set kedua.

Dalam aksi penentuan itu, juara dunia dua kali itu mempamerkan sifat juara sebenar apabila menguasai permainan untuk menang 21-5 dalam pertarungan yang berlangsung selama 70 minit, sekali gus merekodkan kemenangan ketiga ke atas Zii Jia.

Pada temasya Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Chen Long meraih pingat emas selepas menewaskan Datuk Lee Chong Wei pada aksi final, mengecewakan 32 juta rakyat Malaysia ketika itu.

Chen Long yang menduduki ranking keenam dunia akan berdepan Chou Tien-chen dari Taiwan dalam aksi suku akhir pada Sabtu.

Dengan penyingkiran Zii Jia, harapan kem badminton Malaysia  tertumpu kepada pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang mara ke separuh akhir selepas mengejutkan gandingan nombor satu dunia Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon dari Indonesia 21-14, 21-17 dalam perlawanan suku akhir hari ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas