Berita

Jual barangan bundle dan vintaj, “Tak perlu malu pun” – Adira

- Diterbit 25 Disember 2020 10:30 PM MYT

PANDEMIK COVID-19 memberi kesan kepada semua golongan masyarakat. Tak kiralah apa status sekali pun, kita perlu sama-sama bangkit membina semula kehidupan untuk menjadi lebih baik. 

Begitu juga dengan penyanyi Adira yang  menceburi perniagaan menjual barangan bundle dan vintaj, sejak awal tahun ini.

“Saya selesa mencuba nasib dalam bidang baru ini. Malah, kemungkinan saya akan buat siaran langsung menjual barang di laman sosial. 

“Tak perlu malu pun, janji rezeki halal. Tak kisahlah siapapun kita.

“Di saat kita diuji dengan pandemik COVID-19 ini, ramai yang terkesan dan melibatkan diri dengan pelbagai perniagaan alternatif untuk bangkit semula meneruskan survival,” katanya yang kini muncul dengan lagu Kesempatan Bagimu.

Selepas lebih sedekad dalam industri muzik tempatan, tuah dan rezeki untuk ibu kepada tiga orang cahaya mata Anggrek, 3, Asan, 2 dan Anggun, 7 bulan ini tidak pernah salah alamat. Terutamanya apabila membabitkan lagu yang menjadi runut bunyi drama rantaian. 

“Selama menceburi dunia seni, saya sudah terbiasa untuk jatuh cinta dengan lagu nyanyian sendiri. Itu langkah pertama sebelum saya ambil mood menyerap emosi ketika lagu baru dirakamkan atau saat membuat persembahan.

“Tak kenal maka tak cinta. Malah, peluang bekerjasama dengan komposer sedia ada dan yang baru juga menjadi ruang terbaik untuk saya mencabar diri dan terus belajar menyanyi. 

“Lebih 10 tahun jadi artis bukan alasan untuk saya terus memeluk tubuh dan rasa selesa dengan apa yang ada. Saya terbuka dengan apa saja yang boleh memberi pembelajaran baru dalam diri,” ujarnya  lagi.

Lagu Kesempatan Bagimu boleh distrim di semua pelantar muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox, YouTube Music, KK Box dan Deezer. 

Semoga Adira terus sukses! – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas