Berita

JPV diminta semak peraturan terhadap pemilik haiwan berkeliaran

- Diterbit 25 Januari 2021 9:41 AM MYT

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) diminta menyemak semula peraturan atau enakmen bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pemilik haiwan yang membiarkan ternakan mereka berkeliaran terutama di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata ketika ini hanya pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah yang boleh mengambil tindakan ke atas haiwan berkeliaran dan bukannya JPV.

Beliau berkata berdasarkan Arahan Protokol JPV Malaysia, semua ternakan yang berdaftar diwajibkan memakai tanda pengenalan.

“Isunya kesedaran dalam kalangan sesetengah pemilik yang mengambil mudah dengan tidak mempraktikkan peraturan tersebut, malah mereka mengamalkan sistem lepas bebas.

“Ini menimbulkan banyak masalah antaranya risiko penyakit berjangkit, pencemaran dan yang lebih teruk mendatangkan risiko kemalangan yang boleh meragut nyawa manusia dan haiwan itu sendiri seperti yang berlaku di LPT2 baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kemalangan pada malam Sabtu lepas, dua kereta rosak teruk selepas terlanggar sembilan ekor lembu yang berkeliaran di Kilometer 291.1 LPT2 berhampiran Kijal, Kemaman dan kesemua haiwan itu mati akibat dirempuh. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas