Berita

JPS nafi projek terbangkalai, penyebab hakisan pantai

|
- Diterbit 21 Disember 2020 8:15 AM MYT

JABATAN Pengairan dan Saliran (JPS) Labuan menafikan dakwaan bahawa Projek Pemuliharaan Sungai di Tanjung Aru Nelayan tidak diselenggara dengan baik serta menyebabkan hakisan pantai berlaku.

JUNAIDDI

Pengarahnya, Junaiddi Awang Tuah berkata, projek penambakan sungai itu telah siap sepenuhnya sepertimana yang dirancang.

Katanya, sebelum ini kita menerima banyak aduan daripada penduduk kampung mengenai hakisan berkenaan yang kononnya ia berpunca daripada projek penambakan sungai.

“Untuk makluman, sejumlah RM124,000 telah diperuntukan untuk kerja-kerja pemuliharaan sungai bagi mengurankan risiko banjir di Sungai Tanjung Aru dan ia siap sepenuhnya awal November lalu.

“Dakwaan bahawa projek tidak siap adalah tidak benar dan hakisan berlaku selepas projek tersebut siap. Hakisan disebabkan perubahan aliran air sungai yang mengakibatkan pasir di kawasan projek penambakan batu terhakis sepertimana dilihat sekarang.

“Ia bukan disebabkan projek yang kita lakukan tetapi perubahan alam semulajadi dan pihak kami sentiasa berhadapan dengan isu itu,” katanya ketika ditemui Wilayahku hari ini.

Menurut Junaiddi , pihaknya sudah mengenalpasti kawasan hakisan dan proses baik pulih akan dilaksanakan.

“Kita akan membaikinya dengan memanjangkan dan meninggikan lagi penambak batu agar hakisan dapat ditangani. Kerja-kerja penambahbaikan akan dilaksanakan pada pertengahan tahun depan.

“Jambatan di laluan masuk kawasan itu pun akan dinaiktaraf semula oleh JPS setelah projek penambakan semula sungai siap sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas tentang isu hakisan persisiran pantai Tanjung Aru Nelayan, jelas beliau, pihak JPS Labuan sudah memohon peruntukan daripada kerajaan pusat.

“Sekarang ini JPS dan beberapa agensi lain sedang fokus hakisan di Pantai Sungai Miri yang berada di kategori satu (tahap kritikal yang melibatkan kawasan sosioekonomi, harta benda dan sebagainya).

“Hakisan di Kampung Tanjung Aru Nelayan berada di kategori ketiga (hakisan kawasan tidak menjejaskan sosioekonomi ). Namun masalah hakisan pantai itu akan ditangani secara berperingkat,” katanya. – WILAYAHKU

BACA LANJUT: https://wilayahku.mentera.my/hakisan-pantai-sejak-tiga-tahun-lalu-menghantui-penduduk/#.X-BaktgzZhE

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas