Berita

JPPH tawar harga terbaik pembelian tanah Kampung Baru

Abdul Razak pada sesi Wacana Kampung Baru: Kekal atau Dibangunkan? yang berlangsung di Dewan Karangkraf hari ini. - SINAR HARIAN
Abdul Razak pada sesi Wacana Kampung Baru: Kekal atau Dibangunkan? yang berlangsung di Dewan Karangkraf hari ini. - SINAR HARIAN
- Diterbit 5 Oktober 2019 3:51 AM MYT

SHAH ALAM – Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menawarkan nilai pasaran tertinggi dan terbaik dalam pembelian tanah di Kampung Baru dengan mengambil kira beberapa perkara.

Pengarah Kanan JPPH, Abdul Razak Yusak berkata, nilai tersebut ditetapkan dengan mengambil kira keadaan tanah di kawasan berkenaan yang bersaiz kecil.

Beliau berkata, selain itu JPPH turut melihat kepada zon pembangunan yang diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di mana nisbahnya adalah 1:10.

“Kemudian kita juga lihat kepada tanah sekatan yang ada di atas tanah Kampung Baru di mana ia tak boleh dipindah milik dan diduduki oleh bukan Melayu.

“Kita juga lihat kepada faktor pegangan di atas tanah berkenaan yang merupakan hak milik kekal,” katanya.

Abdul Razak berkata demikian bagi menjawab soalan moderator berhubung asas penilaian nilai hartanah yang ditetapkan dalam pembelian tanah di Kampung Baru menerusi Wacana Sinar Harian Siri 131 bertajuk Kampung Baru: Kekal Atau Dibangunkan yang berlangsung di Dewan Karangkraf semalam.

Dalam sesi townhall sebelum ini, kerajaan menawarkan untuk membeli tanah di Kampung Baru di sini dengan kadar RM850 bagi setiap satu kaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula kawasan tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, tawaran tersebut merupakan kadar tertinggi dinilai oleh JPPH dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas