Berita

JPJ laksana e-Testing bermula Jun ini

SHAHARUDDIN (tiga dari kiri) melihat buku 'Tadbir Urus Terbaik JPJ Cemerlang' yang dilancarkan semasa Perhimpunan Bulanan JPJ Bulan Januari 2020 di Kementerian Pengangkutan di sini pagi tadi.
- Diterbit 23 Januari 2020 9:22 AM MYT

PUTRAJAYA – Bagi meningkatkan integriti dan kebolehpercayaan masyarakat terhadap sistem pengujian lesen memandu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Sistem e-Testing bermula Jun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, melalui sistem itu, pengukuran prestasi calon ujian memandu akan dijalankan secara elektronik (automasi) dan keputusan ujian memandu akan dijana secara berkomputer.

Jelasnya, e-Testing merupakan projek perintis (pilot test) dan ia sedang dijalankan di tiga buah Institut Memandu (IM) sebelum dilaksanakan sepenuhnya di seluruh Malaysia bermula Jun ini.

“Ada tiga peringkat e-Testing, iaitu teori dalam kelas, dalam kenderaan dan di jalan raya.

“Bilik kawalan akan disediakan di IM yang mana pegawai JPJ iaitu penilai akan berada di dalamnya, hanya pelajar duduk dalam kereta dan melakukannya sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan JPJ Bulan Januari 2020 di Kementerian Pengangkutan di sini pagi tadi.

Menurut Shaharuddin, pelaksanaan e-Testing bukan sahaja memudahkan tindakan ujian memandu malah ia mengurangkan isu seperti rasuah mahu pun salah laku pegawai.

Dalam perkembangan lain, Shaharuddin memberitahu, e-Bidding yang pertama kali dilakukan di seluruh Malaysia pada tahun lalu merupakan salah satu kejayaan utama jabatannya.

“Kalau dulu kita isi borang letak dalam tong, kini hanya perlu MyKad sahaja untuk bida nombor plat kenderaan. Sistem ini memberi manfaat yang banyak bukan hanya kepada kerajaan tetapi orang awam,” ujarnya sambil berkata pendaftaran kenderaan juga boleh dilaksanakan di mana-mana sahaja.

Mengulas tentang operasi cermi gelap yang dilakukan jabatannya, Shaharuddin berkata, penguatkuasaan masih diteruskan namun maksimum saman hanya dua iaitu cermin dan pemandu manakala notis dihantar kepada pemilik berbanding saman terus kepada pemilik seperti sebelumnya.

Terdahulu, pada perhimpunan bulanan itu, beliau melancarkan buku ‘Tadbir Urus Terbaik JPJ Cemerlang’ hasil nukilan Pegawai Integriti (CeIO) Bahagian Integriti JPJ, Muhammad Marzukhi Hashim.

Buku tersebut merupakan kesinambungan buku ‘Wardah Tadbir Urus Ke Arah Kecemerlangan JPJ’. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas