Berita

Jom sertai Bengkel Penghasilan Produk PolyAl percuma

|NOOR SITA
- Diterbit 22 Mei 2022 1:00 AM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) bakal menganjurkan bengkel penghasilan produk kitar semula daripada bahan PolyAluminium (PolyAl) secara percuma buat warga Putrajaya pada 1 Jun akan datang.

NOOR SITA

Pengarah Pembangunan Mampan dan Perumahan, Perbadanan Putrajaya, TPr Noor Sita Abbas berkata bengkel khas tersebut bakal memberi pendedahan kepada komuniti Putrajaya dalam menghasilkan produk baru yang boleh menjana hasil pendapatan dan meningkatkan ekonomi secara tidak langsung.

“Peserta akan dilatih untuk mengilhamkan produk daripada kreativiti sendiri dengan produk baru yang berkualiti selain ia bertujuan untuk memperkenalkan konsep ekonomi sirkular sebagai pendekatan baru dalam tindakan pengurangan sisa pepejal di Putrajaya,” ujarnya.

Tambahnya, mereka juga akan dibekalkan dengan barang pertukangan serta bahan-bahan yang diperlukan selain diajar cara pengendalian mesin ringan sambil dipantau oleh jurulatih bertugas.

Terhad kepada 30 orang peserta, ia bakal diadakan selama satu hari bertempat di Dewan Seri Melati, Kompleks PPj.

“Sehingga kini terdapat lebih 10 orang peserta yang telah mengesahkan kehadiran mereka dan penyertaan masih dibuka sehingga 19 Mei 2022,” ujarnya.

Mengulas tentang bahan PolyAl, Noor Sita berkata, ia merupakan kepingan aluminium yang terdapat di dalam kotak minuman terpakai (Used Beverage Cartons- UBC).

“Ia merupakan bahan mesra alam yang dapat dikitar semula menjadi papan PolyAl. Bahan ini dapat diguna semula bagi menghasilkan satu produk baru secara kreatif dalam pelbagai bentuk yang boleh dimanfaatkan semula bagi menghasilkan barangan kitar semula seperti bakul, bangku, kotak, lampu, rak buku, pasu dan sebagainya,” ujarnya.

Katanya, program tersebut adalah di bawah salah satu inisiatif Bandar Hijau yang mana Projek CAREton@Putrajaya yang telah diperkenalkan oleh pihak PPj, Syarikat Tetra Pak® Malaysia dan Syarikat Nestle MILO® UHT pada tahun 2012.

“Ia bertujuan untuk mengumpulkan UBC untuk diproses kepada bahan binaan mesra alam seperti PolyAl dan merupakan satu platfom bagi komuniti Putrajaya untuk mengumpul sebanyak mungkin kotak-kotak minuman terpakai,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Cik Wang Tze Wee / Muhammad Fahri Zulkifli di talian 03-8887 7000 (7180 / 8530). -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas