Berita

JKM Labuan anjur program outreach

ANSHAREY (hujung kiri) bersama Dora (tengah) menyampai cenderahati kepada wakil Jabatan Penerangan pada majlis perasmian program outreach agensi kerajaan bersama komuniti dan kanak-kanak di sini, pada Sabtu. ANSHAREY (hujung kiri) bersama Dora (tengah) menyampai cenderahati kepada wakil Jabatan Penerangan pada majlis perasmian program outreach agensi kerajaan bersama komuniti dan kanak-kanak di sini, pada Sabtu.
- Diterbit 21 Mei 2022 7:00 AM MYT

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan melalui Pasukan Kebajikan Kanak-kanak Labuan menganjurkan program outreach bagi menyampaikan maklumat dan inisiatif kerajaan kepada komuniti setempat.

Program tersebut mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan iaitu PERKESO, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Pengarah JKM Labuan, Ansharey Matarsad berkata penganjuran program itu bertujuan mengetengahkan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan dan memberi peluang kepada komuniti memanfaatkan inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan.

Katanya, program itu adalah program julung kalinya dilaksanakan di pulau ini.

“Kita juga mengadakan sesi ceramah kepada kanak-kanak yang disampaikan oleh panel kaunseling dan kita juga menyediakan kaunter perkhidmatan melibatkan lima agensi.

“Tujuan kaunter perkhidmatan lima agensi ini supaya komuniti mendapat manfaat dan info mengenai maklumat bantuan-bantuan yang disediakan oleh setiap agensi kerajaan,” katanya kepada Wilayahku selepas merasmikan Program Outreach Agensi Kebajikan Bersama Komuniti dan Kanak-Kanak peringkat Labuan, di Dewan Kompleks Darul Kifayah MAIWP, pada Sabtu.

PARA pengunjung merebut peluang melakukan pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata, sambutan komuniti mengenai program ini amat memberangsangkan dengan kehadiran yang seperti mana yang disasarkan.

“Sambutan amat menggalakkan dan kita juga akan merancang untuk mengadakan program seperti ini pada masa akan datang di lokasi-lokasi berlainan seperti di kampung-kampung.

“Sasaran kita adalah agar lebih ramai lagi komuniti mengambil peluang dan manfaat yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Terdahulu, program selama sehari itu menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara bersubsidi, kaunter perkhidmatan bantuan, kaunter khidmatan pekerjaan kepada komuniti setempat. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas