Berita

JKM bantu hantar pulang suami isteri bersama bayi terkandas di Johor

- Diterbit 26 Januari 2021 11:07 AM MYT

SEPASANG suami isteri yang terkandas di negeri ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 selama dua minggu, mendapat pertolongan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor untuk dibawa pulang semula ke kediaman mereka di Kuala Selangor, Selangor.

Muhamad Khairil Karim, 38, berkata dia bersama isteri Hamidah Kadir, 36, dan bayinya Mohammad Rizki berusia enam bulan menumpang di rumah abang angkatnya di Kampung Melayu Majidee, di sini, sejak 13 Jan, selepas mengetahui berita mengenai pelaksanaan PKP yang bermula 13 Jan, pada saat-saat akhir.

“Saya bertolak dari Kuala Selangor pada malam 12 Jan, saya dapat tahu PKP dilaksanakan sebaik sahaja saya sampai di Terminal Bas Larkin pada 13 Jan, dan kerana itu saya tidak dapat rentas negeri dan terpaksa menumpang sementara di rumah abang angkat.

“Hasrat untuk pulang ke rumah mentua di Segamat juga tidak kesampaian sebab tidak dapat rentas daerah,” kata pekerja kontrak itu kepada pemberita ketika ditemui di pusat pengedaran makanan gelandangan di Dataran Tun Sri Lanang di sini, hari ini.

Nasib malang yang menimpa keluarga itu diketahui pihak JKM Johor pada hari ini ketika membuat tinjauan pemberian makanan kepada gelandangan di pusat berkenaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail.

Muhamad Khairil berkata nasib yang dihadapi mereka sekeluarga semakin bertimpa-timpa apabila beg dompetnya tercicir dan kesemua dokumen penting seperti kad pengenalan dan lesen kenderaan hilang.

“Syukur dan gembira dapat pulang semula ke Kuala Selangor, sebab ada anak kecil dan perlu pemeriksaan berkala di Klinik Kesihatan, dokumen semua ada di rumah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JKM Johor Mohamad Hapil berkata pihaknya akan menghantar pulang keluarga berkenaan di rumah mereka di Kampung Hujung Permatang, Kuala Selangor pada awal pagi esok dengan menaiki kenderaan rasmi agensi tersebut.

Menurutnya, setakat ini pihaknya telah membantu lapan keluarga untuk dibawa pulang semula sehingga ke Terengganu dan Pahang kerana terkandas akibat PKP. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas