Berita

JKJR anjur program advokasi

SEBAHAGIAN anggota JKJR yang mengedarkan risalah advokasi di sekitar Putrajaya.
- Diterbit 7 Februari 2020 3:07 AM MYT

PUTRAJAYA – Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) baru-baru ini mengadakan Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Tahun di Tapak Pasar Tani, Presint 2 di sini.

Pengarah Bahagian Pelaksanaan Program dan Projek, JKJR Malaysia, Mohammad Fakhri Mansor berkata, program tersebut diadakan bagi meningkatkan kesedaran orang awam khususnya warga Putrajaya mengenai aspek keselamatan jalan raya sebelum, semasa dan selepas pulang ke kampung sempena cuti perayaan.

“Antara aktiviti yang dijalankan adalah pameran, penukaran topi keledar, melekat stiker pantulan cahaya untuk motosikal, penerangan dan mengedar risalah keselamatan jalan raya.

“Tumpuan utama advokasi kali ini adalah memberikan penjelasan kepada pengunjung mengenai penguatkuasaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dan isu berkaitan keselamatan jalan raya,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Fakhri berkata, program seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang bagi membolehkan orang awam mendapat maklumat yang tepat berkaitan keselamatan jalan raya.

Ujarnya, penyertaan komuniti dalam advokasi tersebut juga menunjukkan komuniti di Putrajaya kini memainkan peranan dan tanggungjawab yang lebih besar dalam mendidik masyarakat mengenai keselamatan jalan raya.

Terdahulu pada program itu dijayakan melalui 10 staf JKJR dibantu tiga anggota Putrajaya Road Safety Education Bahagian Penguatkuasa Perbadanan Putrajaya dan 12 anggota Persatuan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas