Berita

Jerman sedia geran bernilai US$26 juta untuk ADB sokong mekanisme peralihan tenaga

- Diterbit 18 November 2022 3:31 PM MYT

KERAJAAN Jerman menyediakan geran bernilai US$26 juta bagi menyokong mekanisme peralihan tenaga (ETM) yang diterajui Asian Development Bank (ADB).

Jerman ialah rakan kongsi pembiayaan kedua yang menyertai Dana Amanah Perkongsian ETM ADB, susulan pengumuman geran bernilai US$25 juta oleh Jepun, menurut kenyataan bank itu, hari ini.

“ETM boleh menjadi satu daripada program pengurangan karbon terbesar di dunia dan aset penting dalam perjuangan menangani perubahan iklim,” kata ketua pengarah Pembangunan Mampan dan Perubahan Iklim Bruno Carrasco.

Komitmen geran dari Jerman itu susulan Inisiatif Iklim Antarabangsa sebagai sebahagian sumbangannya kepada Perkongsian Peralihan Tenaga yang diumumkan pada Selasa.

ETM ialah program transformatif Asia dan Pasifik, bertujuan menggunakan dana konsesi dan berasaskan pasaran bagi menghentikan loji kuasa arang batu sedia ada mengikut jadual yang dipercepatkan dan menggantikannya dengan kapasiti kuasa bersih.

Ditubuhkan pada 1966, ADB dimiliki 68 ahli iaitu 49 daripadanya berasal dari rantau ini termasuk Malaysia. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas