Berita

Jejambat Jalan Tun Razak beroperasi

SHAHIDAN Kassim (kanan) menunjukkan lakaran laluan jejambat baharu Jalan Langgak Golf-Bulatan Kampung Pandan, hari ini. - FOTO KWP SHAHIDAN Kassim (kanan) menunjukkan lakaran laluan jejambat baharu Jalan Langgak Golf-Bulatan Kampung Pandan, hari ini. - FOTO KWP
- Diterbit 20 Mei 2022 3:33 AM MYT

PENGGUNA jalan raya di Jalan Tun Razak yang sebelum ini sering berhadapan dengan kesesakan kini boleh menarik nafas lega selepas jejambat yang bermula di persimpangan Jalan Langgak Golf berhadapan Kelab Golf Diraja Selangor menuju ke bulatan Kampung Pandan sudah boleh dilalui bermula Ahad lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata pembinaan jejambat itu bertujuan mengurangkan kesesakan jalan raya pada waktu puncak.

“Jejambat ini juga bertujuan untuk memberi laluan kepada pemandu yang keluar dari Jalan Bukit Bintang dan juga bersambung ke lebuh raya MEX,” katanya dalam sidang media semasa pelancaran jejambat itu pada Sabtu.

Shahidan menambah, kerajaan turut merancang untuk menghubungkan jejambat itu ke Lebuhraya Setiawangsa-Pantai yang kini sedang dalam pembinaan.

“Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersama agensinya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan terus komited dalam menaik taraf sistem trafik, pengangkutan awam dan pembangunan kemudahan lalu lintas bagi keselesaan rakyat khususnya warga kota.

“Komitmen ini adalah sejajar dengan matlamat kerajaan Keluarga Malaysia untuk menjadikan Kuala Lumpur antara bandar raya yang terbaik dari segi jaringan lalu lintas, selain mampu memenuhi keperluan serta aspirasi rakyat,” katanya.

Dilancarkan pada 20 Julai 2017, projek bernilai RM492.5 juta itu sepatutnya telah siap pada 8 Julai 2019.

Bagaimanapun, projek itu mengalami beberapa kelewatan, antaranya disebabkan perintah kawalan pergerakan pada 2020 yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Jejambat tiga lorong sepanjang 2.8 km itu bermula di hadapan Kelab Golf Diraja Selangor sebelum berakhir di Kampung Pandan.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas