Berita

Jauhi Zon Merah elak terdedah wabak Covid-19

KURANGKAN pergerakan luar rumah. - Gambar hiasan
- Diterbit 23 Mac 2020 3:51 PM MYT

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan agar menjauhi kawasan yang dikategorikan sebagai Zon Merah bagi mengelakkan pendedahan terhadap wabak  Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kawasan Parlimen Lembah Pantai, Titiwangsa, Kepong dan Cheras ditakrifkan sebagai Zon Merah oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kerana mempunyai lebih 40 kes di satu- satu lokaliti.

“Masjid Seri Petaling yang berada dalam Parlimen Seputeh antara kawasan pusat jangkitan Covid-19 yang paling banyak berlaku melalui Ijtimak Tabligh.

“Untuk itu, kita perlu mempersiapkan minda serta meningkatkan kesiapsiagaan untuk mengurangkan pergerakan dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan penuh berdisiplin.

“Jika keluar ke kawasan tersebut, kita hanya akan mendedahkan diri kepada risiko bahaya yang lebih besar dan mengancam nyawa.

“Kerana itu, kita perlu terus berusaha untuk berada di rumah. Jika terdapat urusan penting, cukuplah sekadar ketua keluarga sahaja yang keluar bukan beramai-ramai,” ujarnya.

Menurut Annuar, sehingga kini kes Covid-19 dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berjumlah 212 orang manakala lima kes di Labuan menjadikan kesemuanya 217 kes.

“Kita harap dapat terus melakukan PKP dengan penuh rasa tanggungjawab kerana inilah strategi yang paling berkesan,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas