Selebriti

Jasmine Suraya serah pilihan pada ibu

KECANTIKAN Jasmine Suraya terserlah dalam busana berwarna biru.
- Diterbit 6 Disember 2019 9:11 AM MYT

MENGINJAK usia 30 tahun, pelakon Jasmine Suraya Chin mengaku sering diaju pertanyaan tentang perkahwinan.

Terbuka mengenai hal tersebut, menurutnya kaum keluarga merupakan antara yang risau akan dirinya yang belum berumah tangga.

Mengakui masih belum sampai ke tahap tertekan dengan soalan cepu emas seperti itu, Jasmine menyerahkan semua pilihan kepada keluarga.

“Saya serahkan sahaja kepada ibu untuk mencari lelaki yang sesuai namun dia pula takut jika saya tidak berkenan dengan pilihannya,” ujarnya.

Namun sebagai anak, dia percaya dengan pilihan orang tua kerana biasanya itulah yang terbaik.

Katanya lagi, mungkin kerana sikapnya yang sukar untuk jatuh cinta membuatkan lelaki tidak berani meluahkan perasaan.

“Sejujurnya saya lebih suka berkawan kerana sejak dahulu lagi saya memang jenis yang terbuka dengan semua orang.

“Namun ada baiknya juga sikap tersebut kerana biarpun tidak mempunyai teman istimewa tetapi saya dikelilingi ramai rakan,” ujarnya.

Ditanya kriteria lelaki idamannya, wanita kelahiran Sarawak ini mengharapkan seseorang yang memahami kerjayanya sebagai anak seni.

“Saya seorang yang kuat bekerja dan tidak suka hidup bergantung dengan pasangan, jadi sudah semestinya saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan karier saya,” ujarnya kepada Wilayahku.

Dalam masa yang sama, bintang KL Gangster: Underworld ini mendambakan teman yang dapat memberi nasihat dan menegur dirinya.

Tak sombong

Menyedari bukan mudah perjalanannya untuk membina nama sebagai pelakon sehingga dikenali seperti hari ini, perkara itu membuatkannya tidak menyombong diri.

“Saya melalui sendiri susah payah dari bawah untuk meniti laluan ini dan merasai kesusahan bekerja, itu yang menjadikan saya lebih bersyukur.

“Apa yang dimiliki hari ini belum tentu selamanya milik kita, keangkuhan diri tidak mustahil akan membuatkan Tuhan menarik semula apa yang diberi,” ujar lulusan Sarjana Muda Sains dan Ekonomi dari Universiti Monash, Melbourne Australia ini.

Mula popular melalui watak Lily dalam filem Paskal yang ditayangkan tahun lalu, Jasmine kini tidak lekang dari tawaran lakonan.

Terkini, drama Adella Sofea lakonannya bersama Mira Filzah sedang ditayangkan dan dia juga bakal muncul dalam beberapa buah filem antaranya Marabahaya Underground, Master Picisan, Daulat dan beberapa naskah lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas