Berita

Jaringan saat akhir JDT,kecewakan Kedah

- Diterbit 5 Mei 2021 3:29 AM MYT

PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak, mengakui kecewa dengan keputusan di saat-saat akhir perlawanan yang memihak kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), namun memuji prestasi yang ditunjukkan pasukannya sepanjang perlawanan malam tadi.

Menurutnya, semua pemain telah menunjukkan persembahan yang cemerlang di atas padang dan bermain seperti yang diarahkan, sehingga mampu menyekat asakan JDT.

“Satu keputusan yang mengecewakan (apabila JDT menjaringkan gol pada minit-minit terakhir), tetapi saya gembira dan ‘respect’ dengan momentum dan prestasi yang ditunjukkan semua pemain, kerana mereka telah bekerja keras sepanjang tempoh 90 minit.

“Pemain sudah menjalankan tugas sebaik mungkin, namun pasukan JDT bukanlah mudah untuk ditewaskan kerana mereka pasukan yang kuat, apa pun kita terima keputusan ini dan menghomati keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT,” katanya.

Aidil Sharin berkata demikian kepada pemberita selepas tamat perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman di sini, malam tadi.

Pada pertemuan itu, KDA FC yang menyasarkan untuk merampas kedudukan teratas liga, tewas 1-0 kepada JDT selepas pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya di sempurnakan Bergson Gustavo pada penghujung perlawanan.

Kekalahan itu menyebabkan KDA FC jatuh ke kedudukan ketiga liga dengan 23 mata, iaitu satu mata di belakang Terengganu FC yang berada di kedudukan kedua, manakala JDT kekal di persada liga dengan 27 mata.

Dalam pada itu, Aidil Sharin mahu anak buahnya kembali fokus bagi menghadapi perlawanan seterusnya menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 8 Mei ini.

“Kami akan menggandakan latihan dan merangka strategi agar dapat merubah kedudukan liga, harapan saya agar pemain dapat bangkit dan tidak patah semangat, kami perlu bersedia untuk menentang Sabah, kemudian piala AFC,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT Benjamin Mora berkata, sepakan penalti disaat akhir telah memisahkan pasukannya untuk berkongsi satu mata dengan Kedah.

Bagaimanapun katanya, pemain JDT terpaksa bekerja keras untuk memenangi perlawanan tersebut, kerana momentum dan prestasi pasukan Kedah berada dalam keadaan terbaik.

“Ini perlawanan yang sengit kerana corak permainan Kedah sudah berbeza dan banyak berlaku peningkatan dari segi prestasi pemain, gaya dan juga strategi, namun satu gol telah memberi kami tiga mata berharga,” katanya. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas