Berita

JaPen Labuan edar ‘flyers’, ingatkan masyarakat patuh SOP

|
- Diterbit 11 Februari 2021 2:32 PM MYT

JABATAN Penerangan (JaPen) Labuan sentiasa komited mengingatkan masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menerusi Kempen Pembudayaan Norma Baharu dan Proklamasi Darurat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Pengarahnya, Supian Musa berkata, program itu bertujuan menerapkan pemahaman dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai SOP serta pembudayaan norma baharu.

Beliau berkata, kepentingan pembudayaan norma baharu dan mematuhi SOP amat penting dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

“Selain daripada program Info On Wheel (IOW) dan Roger-Roger Labuan FM, program ini juga merupakan inisiatif JaPen dalam meningkatkan kesedaran dan pemahaman pembudayaan norma baharu itu kepada masyarakat khususnya di pulau ini, “katanya

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita di Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Tun Mustapha, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan Dzulfaizal Ab Manan.

Pada program sama, Supian berkata, pihaknya juga mengedarkan ‘flyers’ yang mengandungi informasi Ordinan Proklamasi Darurat kepada masyarakat.

“Kita berharap dengan edaran ini, masyarakat memahami apa itu makna darurat dan apa tujuannya dilaksanakan.

“Secara jelasnya, masyarakat lebih faham bahawa darurat ini adalah langkah yang diambil oleh kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19,” katanya. – KHAIRUL IDIN – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas