Berita

“Janganlah sesuka hati merentas” – DJ Lin kesal

- Diterbit 22 April 2021 8:28 AM MYT

PENYAMPAI radio popular DJ Lin mengaku kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang berdegil untuk merentas negeri.

Memandangkan kes COVID-19 belum reda dan ada turun baiknya, kerajaan telah memutuskan tiada aktiviti merentas negeri dibenarkan, melainkan dalam hal-hal penting dan mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Apa yang menyedihkan, terdapat segelintir pihak yang sanggup memberi keterangan palsu atau menipu hanya semata-mata mahu merentas negeri.

“Dalam keadaan kes COVID-19 yang masih membimbangkan, kita semua mestilah sentiasa berwaspada dan patuh arahan pihak kerajaan.

“Apabila kerajaan tidak benarkan merentas negeri, janganlah sesuka hati merentas. Jangan menipu hanya kerana mahu merentas negeri.

“ Jangan sesekali cuba mengambil kesempatan atas sedikit kelonggaran yang diberikan. Sikap pentingkan diri ini perlu dibuang jauh-jauh.

“Ini kerana, disebabkan sikap mementingkan diri sendiri dan degil, orang lain jadi susah. Jadi harus ada sikap tanggungjawab pada diri” luah DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid,45, yang popular menerusi segmen Suria Cinta di Suria FM.

Bagi DJ Lin, kerjasama semua pihak amat penting untuk memastikan kes COVID-19 terus menurun.

“Kita semua pun tahu, untuk memerangi COVID-19 ini perlu ada usaha penggembelengan bersama. Bukan hanya peranan individu tetapi memerlukan kerjasama semua pihak. Jangan harapkan kerajaan sahaja, tapi kita semua tidak memberikan kerjasama yang sepatutnya.

“Kalau nak kes COVID-19 ini menurun dan sifar, kita semua perlu bersatu hati. Kenalah tahan nafsu tu.

“Bila kerajaan cakap jangan merentas negeri, janganlah buat.

“Dalam masa yang sama, fikirkanlah orang lain yang menahan diri daripada merentas negeri walaupun rindukan keluarga. Mereka patuh pada arahan kerajaan,” ujarnya lagi.

Sepanjang Ramadan ini, DJ Lin juga mengajak semua peminat untuk menghayati program yang telah dijadualkan di Suria FM yang boleh ditonton melalui Facebook Suria FM serta Youtube SuriaTV serta di Applikasi Suria Malaysia.

Antara program menarik yang disediakan adalah Akustika Ramadan Suria yang menggabungkan ramai artis popular, CSR Ramadan, Kaunter YBae PAH (Sharifah Shahirah) bersama Malaysian Relief Agency (MRA), Sirah Anbiya bersama PU Azman, Tazkirah & Pengumuman waktu berbuka dan imsak, peraduan menangi wang tunai, iklan raya Suria FM dan sebuah lagu raya dari Suria FM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas