Selebriti

“Janganlah menghasut orang lain” – Izzue Islam

- Diterbit 5 Jun 2021 12:00 AM MYT

SELEBRITI serba boleh Izzue Islam, 30, golongan anti vaksin tidak sepatutnya mempengaruhi orang lain dengan menyebarkan berita palsu tentang vaksin COVID-19.

“Kalau tak mahu percaya atau enggan terima vaksin, tidak mengapalah. Itu hak mereka.

“Tetapi janganlah menghasut orang lain dengan memutarbelitkan fakta tanpa disokong dengan apa-apa bukti atau alasan kukuh. Ini tidak bagus kerana membuatkan orang ramai meragui tentang kepentingan vaksin.

“Tidakkah anda berasa bersalah jika orang yang anda hasut itu dijangkiti COVID-19 setelah enggan menerima vaksin hasil daripada hasutan anda? Jadi, sudah-sudahlah menghasut,” jelas pelakon drama bersiri Sabarlah Duhai Hati siaran TV3.

Izzue juga menyedari golongan anti vaksin bukan sahaja terdapat di Malaysia, tetapi juga di negara-negara lain.

“Satu tugas berat kepada mana-mana kerajaan untuk meyakinkan pihak yang tidak mahu mempercayai vaksin.

“Apa yang boleh kita buat adalah sama-sama menyebarkan kebaikan tentang vaksin demi keselamatan rakyat. Rakyat dan kerajaan harus saling membantu,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas