Berita

Jangan salah guna kemudahan lesen WBB yang diberi – DBKL

BARANG perniagaan disita penguatkuasa DBKL selepas peniaga didapati menyewakan lesennya kepada warga asing. BARANG perniagaan disita penguatkuasa DBKL selepas peniaga didapati menyewakan lesennya kepada warga asing.
- Diterbit 16 Ogos 2021 8:02 AM MYT

USAHA kerajaan membantu golongan rentan dan terjejas menerusi Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (IWBB) telah disalahgunakan segelintir pihak yang ‘tamak’ dan mahu mengaut untung atas angin.

Berkonsepkan ‘Ali Baba’, seorang peniaga yang diberikan lesen IWBB di Jalan Kuantan, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur didapati menyewakan tapak niaganya itu kepada warga Myanmar dengan kadar sewa RM30 sehari.

Ekoran itu, DBKL mengambil tindakan penguatkuasaan terhadapnya malah semakan mendapati lesen yang dikeluarkan telah tamat tempoh dan dalam proses permohonan semula.

Sehubungan itu, tindakan sita dikenakan terhadap peralatan perniagaan dan notis kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3 (1) Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua barangan sitaan telah dibawa ke Stor Sitaan DBKL, Jalan Lombong Cheras.

Ujarnya, tindakan tersebut diambil selepas pemantauan sepanjang tempoh lima hari mendapati pemilik asal tidak menjalankan perniagaan dengan pelbagai alasan.

“Para peniaga yang memperoleh kebenaran lesen Wilayah Bebas Berniaga (WBB) diingatkan untuk tidak menyalahgunakannya.

“Lesen ini dikeluarkan hanya kepada warga tempatan yang layak oleh DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk membantu mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, DBKL memberitahu, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap pelesen WBB akan dilaksanakan dari semasa ke semasa selagi mana kebenaran ini berkuatkuasa.

Oleh itu, katanya, warga kota disaran untuk terus memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada DBKL bagi menangani aktiviti ini secara dalam talian di adukl.dbkl.gov.my. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas