Berita

Jangan pandang ringan perubahan anak – Pakar Pediatrik

- Diterbit 20 Mei 2022 4:30 AM MYT

IBU bapa atau penjaga dinasihatkan untuk peka dengan perubahan kanak-kanak di bawah jagaan mereka sekiranya tidak aktif seperti kebiasaan.

Pakar Pediatrik Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nor Arzuar Abdul Rahim berkata sekiranya kanak-kanak ini dilihat tidak aktif atau ‘fussy’, mereka mungkin dijangkiti dengan wabak tangan, kaki dan mulut (HFMD).

“Antara gejala HFMD adalah seperti demam, ulser serta ruam berbiji di anggota tubuh badan yang menyumbang kepada keadaan tidak aktif.

“Sekiranya terdapat gejala berkaitan, ibu bapa perlu segera bawa anak mereka ke fasiliti kesihatan untuk mendapatkan pengesahan dan rawatan,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

Menjelas lanjut, Nor Arzuar berkata, wabak ini merupakan jangkitan virus yang biasa merebak melalui air liur, cecair hidung ataupun najis kanak-kanak yang telah dijangkiti.

“Umumnya kanak-kanak kecil biasa memasukkan jari atau tangan mereka ke dalam mulut. Selepas itu mereka akan bermain dengan alat permainan atau menyentuh permukaan disekeliling mereka sambil berkongsi permainan tersebut dengan kanak-kanak lain di taska ataupun pusat asuhan kanak-kanak yang menjadikan ia menular dengan pantas,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak yang dijangkiti wabak HFMD perlu dikuarantin di rumah namun ia tidak seperti protokol kuarantin COVID-19.

“Kanak-kanak yang telah disahkan mendapat jangkitan HFMD akan dilaporkan kepada pejabat kesihatan daerah masing-masing.

“Sekiranya telah dikenal pasti punca wabak adalah dari pusat jagaan ataupun tadika, saranan untuk menutup pusat berkenaan sementara waktu akan dikeluarkan.

“Kebiasaannya surat sokongan dan pengesahan dari pihak doktor kepada majikan akan dikeluarkan kepada salah seorang ibu bapa yang memerlukan cuti jagaan anak yang terpaksa dikuarantin di rumah” katanya.

Dalam pada itu, Nor Arzuar mengingatkan kepada ibu bapa untuk sentiasa sensitif dan tidak menghantar anak mereka ke pusat jagaan atau tadika jika terdapat tanda-tanda gejala HFMD bagi mengelakkan ia merebak kepada kanak-kanak lain.

“Bagi pengusaha taska atau pusat asuhan kanak-kanak pula adalah disarankan untuk sentiasa menjaga kebersihan premis masing-masing.

“Segala peralatan atau alat mainan yang telah digunakan perlulah dicuci setiap hari kerana kita tahu risiko kesan air liur kanak-kanak di permukaan mainan adalah tinggi.

“Ibu bapa dan penjaga juga perlu sentiasa kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun terutama selepas menukar lampin kanak-kanak atau selepas menggunakan tandas,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas