Berita

Jangan bersesak-sesak di bank, mesin ATM

- Diterbit 24 Mac 2020 9:31 AM MYT

PUTRAJAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di mesin pengeluaran wang automatik dan bank-bank menjelang hari gaji esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi memastikan orang ramai tidak bersesak-sesak di bank atau mesin pengeluaran automatik.

“Kerajaan menyeru agar orang ramai jangan berpusu-pusu di bank atau di mesin pengeluaran wang automatik.

“Kita juga akan minta pihak polis dan tentera, jika perlu untuk mengawal kawasan bank untuk melaksanakan langkah seperti penjarakan sosial,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, pihak bank boleh menentukan berapa jumlah individu yang dibenarkan berada dalam premis berkenaan dalam satu-satu masa agar langkah penjarakan sosial dipatuhi.

“Kerajaan berharap, sesiapa saja yang mengeluarkan wang agar mengikut arahan dikeluarkan oleh petugas di bank sama ada polis bantuan, polis atau anggota tentera yang ditugaskan membantu,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas