Berita

JaminKerja Keluarga Malaysia bantu tingkat taraf hidup belia

ISMAIL (dua kanan) beramah mesra bersama peserta e-Sports pada Majlis Perasmian Karnival Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera, hari ini. Foto: Berita Harian
- Diterbit 12 November 2022 9:36 AM MYT

INISIATIF JaminKerja Keluarga Malaysia merupakan antara usaha kerajaan dalam memastikan golongan belia mendapat pekerjaan seterusnya meningkatkan taraf hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata JaminKerja Keluarga Malaysia merupakan manisfestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi lebih mampan.

“Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia sentiasa mengambil langkah memastikan kebajikan pekerja serta majikan termasuk mereka yang terbabit dalam ekonomi baharu seperti gig yang kini menjadi alternatif bagi menjana pendapatan.

“Program kemahiran semula dan penjanaan pendapatan juga diperkenalkan untuk mereka yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan apabila syarikat yang menjadi tempat mereka bekerja terpaksa mengurangkan operasi atau ditutup,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera, di sini, hari ini.

Ismail berkata menerusi Sistem Insurans Pekerjaan ditawarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) seramai 188,526 Keluarga Malaysia menerima manfaat faedah kewangan berjumlah RM1 billion bagi membantu mereka yang terkesan meneruskan kehidupan harian.

Dalam pada itu, beliau berkata selain peluang pekerjaan pelbagai aktiviti lain turut dianjurkan termasuk kejohanan e-sukan dengan 38 kumpulan sudah mengesahkan penyertaan termasuk pasukan e-sukan negara, Team Haq Esports Club yang muncul juara perlawanan Liga Profesional Mobile Legend (MPL) MY musim ke-10.

“Industri e-sukan dunia sedang giat berkembang dan mampu menjana pendapatan sehingga RM7.56 bilion pada tahun 2024. Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM13 juta dalam Bajet 2023 bagi membangunkan pembangunan e-sukan,” ujarnya.

Ismail turut berharap Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan dan menjadi platform kepada belia khususnya di Bera untuk menerokai peluang pekerjaan serta meningkatkan sosio-ekonomi mereka.

Terdahulu, Ismail Sabri meluangkan masa bersama-sama anak muda Bera di Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera dan pelbagai aktiviti yang diadakan seperti Karnival Kerjaya, Santai E-Games, Pemeriksaan Kesihatan, Karnival Jualan keluarga Peladang dan lain-lain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas