Berita

Jamal Yunos mengaku tidak bersalah muat naik video kenyataan jelik di FB

- Diterbit 18 Januari 2021 5:34 AM MYT

KETUA UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini atas dua pertuduhan memuat naik video dengan kenyataan jelik di laman Facebook.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Jamal dituduh dengan sengaja memuat naik dua video dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, yang telah dilihat pada tengah hari, 20 Ogos 2020 di Taman Dagang Avenue, Ampang dekat sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan melalui laman Facebook menggunakan profil Datuk Sri Jamal Yunos di pautan www. facebook.com/watch/live masing-masing pada 10 pagi dan 3 petang pada 19 Ogos 2020.

Jamal, 51, dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Setelah beliau minta dibicarakan, Timbalan Pendakwa Raya S. Sangitaa menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kes berkenaan melibatkan kepentingan awam.

Bagaimanapun, peguam Datuk Imran Tamrin yang mewakili Jamal, memohon jaminan yang lebih rendah, RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan tersebut memandangkan anak guamnya yang mengendalikan sebuah restoran ketika ini menghadapi masa yang sukar kerana Perintah Kawalan Pergerakan berikutan pandemik COVID-19 dan kedua-dua pertuduhan akan dibicarakan bersama.

Hakim Azrul Darus membenarkan jaminan pada RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 18 Feb untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas