Berita

Jalur Gemilang terpanjang direntang di puncak Bukit Kubong

JALUR Gemilang sepanjang 63 meter berjaya direntangkan di Bukit Kubong. JALUR Gemilang sepanjang 63 meter berjaya direntangkan di Bukit Kubong.
- Diterbit 4 September 2020 5:36 AM MYT

JALUR Gemilang sepanjang 63 meter berjaya direntangkan di puncak Bukit Kubong menerusi Program Aspirasi Merdeka Labuan Fm sempena Sambutan Hari Kemerdekaan baru-baru ini.

Program melibatkan 150 peserta itu bermula dengan acara berbasikal yang membawa Jalur Gemilang bermula daripada Dataran Labuan yang terdiri daripada ahli-ahli Kelab Berbasikal di Labuan yang diketuai oleh Ketua Polis Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad dan acara pelepasan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Dr Fary Akmal Osman.

Program ini merupakan aktiviti Radio Di Lokasi (RDL) yang membawa kakitangan Labuan Fm bersama warga Wilayah Persekutuan Labuan untuk memupuk semangat cintakan tanah air dengan menerapkan elemen kemerdekaan.

Timbalan Pengarah Penyiaran Labuan, Fauziah Mohd Sidek berkata, objektif program dilaksanakan adalah untuk menerapkan nilai-nilai murni seperti cintakan tanah air, berdisiplin dan serta mempunyai semangat patriotik dan cintakan negara.

“Dengan program ini, dapat menanam rasa bangga dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan negara dan memupuk serta  memperkukuh semangat setia negara dan jati diri dan menanam rasa tanggungjawab terhadap negara,” katanya.

“Peserta berbasikal berkayuh sejauh 13.9 kilometer melalui Jalan Tun Mustapha, Jalan Pohon Batu dan seterusnya Ke Pantai Batu Manikar,” katanya.

Tambahnya, para peserta turut merentangkan Jalur Gemilang sepanjang  63 meter sempena 63 tahun Malaysia telah merdeka, sambil menyanyikan lagu Negaraku dan melaungkan kemerdekaan sebagai simbolik sambutan Bulan Kemerdekaan di Labuan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr Fary Akmal Osman berkata, program ini dapat menerapkan semangat cinta kepada tanah air dan bersama-sama memajukan negara khususnya di Labuan.

Katanya, sikap prihatin terhadap negara harus ada di dalam diri setiap masyarakat dan bersama memajukan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Sempena Hari Kemerdekaan, kita akan menyusun pelbagai program  secara berterusan dengan kerjasama Jabatan Penerangan serta Jabatan yang lain untuk meraikan sambutan Hari Kemerdekaan sehingga Sambutan Hari Malaysia pada 16 September,” katanya.

Beliau berkata sedemikan semasa menyempurnakan Program Aspirasi Merdeka Labuanfm 2020 bersempena Hari Kemerdekaan ke-63, di sini pada Isnin lalu.

Terdahulu, program ini turut mendapat kerjasama daripada PL, Jabatan Penerangan Labuan, Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Kelab Sukan Jabatan Belia dan Sukan Labuan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas