Berita

Jalinan erat Uthmaniah, Melayu

SENI bina Masjid Wilayah Persekutuan memukau pengunjung yang hadir kerana gabungan moden Melayu dan tradisional Uthmaniah.
- Diterbit 17 Januari 2020 8:46 AM MYT

Selain berkonsepkan binaan tradisi masjid-masjid pada era Uthmaniah di Turki seperti Masjid Sultan Ahmet (Masjid Biru), reka bentuk seni bina dan hiasan dalamanya merupakan kombinasi tradisi Melayu Malaysia dan Asia Barat

SENI bina masjid merupakan salah satu tarikan pelancongan utama di Malaysia. Ini kerana, reka bentuknya dihiasi kubah besar serta dua kubah kecil yang mempunyai pelbagai tekstur termasuk khat ayat suci al-Quran serta pelbagai jenis ukiran-ukiran geometri.

Maka tidak hairanlah kenapa Masjid Wilayah Persekutuan yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Halim (Jalan Duta), Kuala Lumpur menjadi tumpuan kunjungan pelancong asing.

Malah masyarakat bukan Islam juga sering menziarahi rumah ibadat ini kerana ia seolah-olah masjid terapung berikutan dibina di atas kolam buatan manusia di samping hiasan air pancut.

GABUNGAN sebuah kubah dan dua kubah separuh menjadikan ruang dalaman Masjid Wilayah Persekutuan kelihatan lebih besar dan mendamaikan.

Selain berkonsepkan binaan tradisi masjid-masjid pada era Uthmaniah di Turki seperti Masjid Sultan Ahmet (Masjid Biru), reka bentuk seni bina dan hiasan dalamanya juga merupakan kombinasi tradisi Melayu Malaysia dan Asia Barat.

Ia sekali gus menjadikannya masjid termoden di Malaysia. ‘Masjid dalam taman’ yang berkeluasan kira-kira 47,000 meter persegi itu mampu menampung seramai 17,000 jemaah pada satu-satu masa.

Pembinaan Masjid Wilayah Persekutuan diilhamkan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat dan ia kemudian direalisasikan pada 15 Mac 1996 manakala binaannya siap sepenuhnya pada 30 Ogos 2000.

Perasmiannya dilakukan Yang di-Pertuan Agong pada masa itu iaitu Tuanku Syed Sirajudin Jamalulail pada 18 Februari 2005.

Terbahagi kepada empat tingkat iaitu aras pertama yang menempatkan bilik VIP, dewan serba guna, pusat asuhan kanak-kanak, asrama lelaki dan perempuan serta pejabat pentadbiran asrama dan tadika.

MIMBAR diukir mengikut kesenian Melayu.

Di aras kedua pula, terdapat kelas sekolah agama, bilik seminar, bilik urus jenazah, perpustakaan, dewan jamuan lelaki dan perempuan.

Ruang solat utama pula terletak di aras ketiga yang turut mempunyai halaman Nur-Hidayah serta pejabat pentadbiran masjid manakala ruang solat wanita berada di aras keempat.

Uniknya, Masjid Wilayah Persekutuan yang mempunyai lima pintu ini turut dihiasi batu granit berwarna kelabu yang terdapat di Laman Hidayah malah dataran tersebut merupakan lokasi pilihan pelancong bergambar kerana mempunyai identiti tersendiri.

Di laman itu, pengunjung yang hadir boleh melihat seni bina sebuah kubah lengkap, tiga kubah separa bulat dan sebuah ‘vault’ yang mirip Masjid Biru di Istanbul.

Selain itu Masjid Wilayah Persekutuan mempunyai 23 kubah dan merupakan masjid paling banyak binaan kubah di negara ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas