Berita

Jalan TAR antara enam kawasan kena PKPD

BANGUNAN di sekitar Jalan TAR kini dikenakan PKPD hingga 28 April ini. Gambar NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 14 April 2020 7:08 AM MYT

PUTRAJAYA – Beberapa kawasan di ibu kota terutamanya di sekitar Masjid India menjadi lokasi baharu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 28 April ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, lokasi itu termasuk di Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang di sekitar Masjid India.

“PKPD kelima ini diputuskan atas nasihat Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Adham Baba) dengan standard prosedur operasi (SOP) adalah sama dengan PKPD sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau turut memberitahu tiga lokasi PKPD sebelum ini melibatkan Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor; Menara City One, Jalan Munshi Abdullah dan Bangunan Selangor Mansion serta Malayan Mansion di Jalan Masjid India dilanjutkan tempoh PKPD sehingga 28 April.

Ujarnya, arahan itu susulan berlaku penambahan kes positif Covid-19.

“Bagaimanapun, PKPD di Batu 21 hingga 23, Sungai Lui, Hulu Langat ditamatkan selepas berakhir hari ini meliputi tujuh perkampungan Melayu dan dua perkampungan Orang Asli.

“Namun dua lokaliti di kawasan tersebut yang dilanjutkan PKDP sehingga 28 April ini adalah Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Paya Lebar berikutan masih terdapat kes Covid-19,” jelasnya. – WILAYAH

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas