Berita

Jaga warga asing wajib jalani swab Covid-19

- Diterbit 8 Mei 2020 9:22 AM MYT

PUTRAJAYA – Semua pengawal keselamatan warga asing diwajibkan menjalani ujian saringan swab Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu hasil Mesyuarat Jawatankuasa Menteri-Menteri Berkaitan Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wujudnya kluster baharu pengawal keselamatan di pusat beli-belah di Cheras.

Katanya, dari segi pemantauan dan pengawalan adalah memfokuskan kepada kluster dan lokaliti.

“Pengawal keselamatan mempunyai kontak yang ramai terutamanya yang bertugas di pusat beli-belah.

“Mereka yang memeriksa suhu badan dan tentunya hubungan banyak dangan orang ramai. Tambahan orang yang masuk pasar raya atau pusat beli belah tidak didaftarkan dan sukar untuk dikesan.

“Justeru mesyuarat pagi ini memutuskan semua pengawal keselamatan warga asing diwajibkan jalani swab Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan kerajaan susulan wujud kluster baharu pengawal keselamatan di pusat beli-belah di Cheras yang telah menjangkiti 10 individu.

Ismail Sabri memberitahu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengasingkan dan merawat semua pengawal keselamatan terlibat dalam positif Covid-19.

Ujar beliau, kontak mereka turut telah menjalani ujian swab susulan kes tersebut.

“Dari segi keputusan menutup atau tidak (pusat beli-belah), KKM akan memberikan pandangan dan nasihat. Kalau KKM berasa perlu ditutup, tindakan tutup akan dilaksanakan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas