Berita

Jabatan Pertanian Labuan rancang strategi realisasi Dasar Makanan Negara

ERNIE (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pengusaha pertanian pada Majlis Perasmian Penutupan Minggu Terbuka Taman Pertanian Kilan, Jabatan Pertanian Labuan.
- Diterbit 5 November 2022 2:00 AM MYT

BAGI merealisasikan Dasar Makanan Negara bagi menjamin bekalan makanan mencukupi, selamat dimakan serta mampu dibeli, Jabatan Pertanian Labuan mengambil langkah strategi perancangan jangka masa panjang bagi tujuan tersebut.

Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias, pihak Jabatan Pertanian Labuan telah mengagihkan insentif kepada pengusaha pertanian di Labuan di bawah ProgramPembangunan tanaman buah-buahan jangka masa panjang, jangka masa pendek dan juga Program Pertanian Bandar.

Katanya, selain daripada itu peluang pasaran turut diperluaskan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) iaitu agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang bertanggungjawab dalam memasarkan hasil pertanian di pulau itu.

“Bagi memastikan kestabilan harga makanan, pembangunan sistem pemantauan harga dan sistem amaran awal bekalan makanan akan membantu ketersediaan serta pengeluaran makanan memenuhi permintaan yang dijalankan antara Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya semasa merasmikan Penutupan Minggu Terbuka Taman Pertanian Kilan, Jabatan Pertanian Labuan, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Sosio Ekonomi Perbadanan Labuan, Ernie Mohamad yang mewakili Bashir pada ucapan perasmian tersebut.

Mengulas lanjut mengenai program yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Labuan, Bashir berkata program tersebut bukan sahaja dapat memberi peluang kepada pengusaha pertanian untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai perkongisan pengembangan teknologi, kreativiti dan inovasi.

Selain itu, beliau menjelaskan lagi, program itu turut mempromosikan Taman Pertanian Kilan sebagai lokasi agropelancongan kepada pengunjung.

“Kita harapkan segala ilmu yang didedahkan boleh dijadikan informasi terkini untuk diaplikasikan sekali gus membantu pengusaha pertanian mengembangkan hasil pertanian mereka,” katanya lagi. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas