Selebriti

Izzue Islam puji 12 tindakan Pelan Tebatan Banjir Kilat KL2022

- Diterbit 5 Disember 2022 4:59 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) telah melaksanakan tindakan drastik Pelan Tebatan Banjir Kilat KL2022 bagi mengatasi masalah banjir di Kuala Lumpur.

KWP melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta agensi terlibat telah memaksimumkan operasi dan langkah-langkah penyelesaian pantas dengan kadar segera.

Sebagai rakyat yang bermastautin di Kuala Lumpur, selebriti serba boleh, Izzue Islam,32, mengakui merasai perubahan setelah beberapa langkah telah diambil kerajaan.

“Siapa ingat Disember tahun lepas kalau tak silap, teruk juga la banjir kat Kuala Lumpur ni. Disebabkan banjir besar tahun lepas, DBKL dan KWP laksanakan 12 pelan tindakan jangka pendek banjir ini.

“Hasilnya, dari 31 hotspot banjir sebelum ni hanya tinggal tiga saja lagi hotspot yang kadang-kadang naik air bila hujan berterusan. Hati-hati ya korang musim-musim hujan ni,” kongsi Izzue menerusi Instagramnya.

Izzue juga membuat satu hantaran di Instagram dengan memuatnaik video yang memaparkan 12 pelan tindakan jangka pendek banjir di Kuala Lumpur.

“Antaranya adalah menempatkan petugas warden trafik di kawasan yang ditetapkan. Ini penting untuk kesiapsiagaan menghadapi banjir. Kerajaan juga telah melebar dan menambah scupper drain bagi memudahkan air mengalir ke sistem perparitan. Jadi tak adalah air bertakung.

“Bukan itu sahaja, DBKL juga telah membuat pemasangan pam air mudah alih bertujuan untuk memindahkan air ke kawasan lain. Ini idea menarik yang boleh dicontohi oleh tempat-tempat lain.

“Aktiviti yang sering dilakukan seperti pembersihan dan naik taraf longkang juga adalah langkah yang bijak. Ia berperanan untuk melancarkan laluan air ke sistem perparitan,” ujar Izzue lagi.

Tambahnya lagi, kerajaan juga turut melakukan pengorekan kelodak dan pembersihan kolam takungan dan sungai bagi mengekalkan kapasiti kolam takungan.

“Pemasangan flap gate, meletakkan guni pasir serta mesej amaran banjir kilat melalui aplikasi MOBIS juga antara langkah yang sangat berkesan dalam mengatasi banjir di Kuala Lumpur,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas