Berita

iTTi Malaysia buka peluang pekerjaan untuk graduan menganggur , pekerja VSS

NORARMAN (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kolej ALFA, Fairuz Kamarulzaman sejurus sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di bawah inisiatif latihan TEFL iTTi.
- Diterbit 17 Oktober 2019 1:52 PM MYT

Oleh: AINI MAWAWI
[email protected]

KUALA LUMPUR – The International TEFL Training Institute (iTTi) yang berpengkalan di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini membuka cawangannya di Malaysia menerusi Institut Latihan TEFL Antarabangsa Malaysia Sdn. Bhd. (iTTi Malaysia).

Ia bertujuan untuk membantu graduan menganggur, bekas pekerja skim pemisahan sukarela (VSS) dan mana-mana individu yang ingin bertukar karier menjadi guru bahasa Inggeris yang diiktiraf antarabangsa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif iTTi Malaysia, Norarman Kardi, antara faktor kesukaran mendapat pekerjaan pada masa ini adalah kerana tidak fasih berbahasa Inggeris dan tidak menyedari peluang yang luas sebagai guru bahasa Inggeris di arena antarabangsa.

“Menyedari hal tersebut, iTTi Malaysia mengambil inisiatif berkolaborasi bersama Kolej ALFA, Subang Jaya dengan menawarkan kursus 120 jam TEFL-TESOL yang terbahagi kepada dua, tiga, enam atau 11 bulan bergantung kepada keputusan ujian penilaian pra-pengambilan kepada mereka yang ingin bergelar guru Bahasa Inggeris.

“Menggabungkan kemudahan dan pakar dari kedua-dua institusi dalam menawarkan latihan dan perkhidmatan, institut ini dijangka menarik minat mereka yang ingin menjelajahi dunia sebagai guru Bahasa Inggeris di peringkat global,” ujarnya.

Katanya lagi, sijil yang dikeluarkan oleh iTTi diiktiraf di seluruh dunia dan memenuhi syarat graduan untuk mengajar Bahasa Inggeris di luar negara.

“Bakal guru Bahasa Inggeris yang mendapat sertifikasi dari iTTi akan diberikan bantuan penempatan pekerjaan di mana-mana negara yang memerlukan perkhidmatan guru bahasa Inggeris.

“Fokus iTTi Malaysia adalah meningkatkan peluang pekerjaan pada peringkat antarabangsa dengan mendidik pelajar melalui latihan, seminar dan bengkel untuk peningkatan kemahiran dengan dilatih oleh jurulatih yang berkelayakan,” ujarnya kepada Wilayahku.

Dengan yuran yang berpatutan, sijil antarabangsa yang ditawarkan diiktiraf oleh Chartered Collage of Teaching, United Kingdom, Department of State, United States, European Global School, IATEFL, TESOL-International, TESOL Latam, Paris American Academy, TESOL France and Premio Quality.

Beroperasi di kawasan segi tiga emas, Wisma UOA 2 Kuala Lumpur, iTTi terletak di kawasan strategik dan mudah diakses oleh penduduk yang tinggal di kawasan Lembah Kelang.

Bagi mereka yang ingin membawa tahap perubahan baharu dalam peluang pendidikan, pekerjaan global dan juga pelancongan, bolehlah mengunjungi laman web www.ittimalaysia.com atau menghubungi talian 017-6908529. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas