Berita

Isu pencerobohan hutan bukan lagi alasan bantahan

PEMANDANGAN Rumah Panjang Bukit Kiara dari udara.
PEMANDANGAN Rumah Panjang Bukit Kiara dari udara.
- Diterbit 18 Julai 2019 4:38 PM MYT

KUALA LUMPUR – Isu untuk memulihara dan menjaga satu-satunya kawasan hutan di ibu negara seperti yang dicanang penduduk Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) sepatutnya tidak dijadikan alasan bagi membantah projek pembangunan Taman Rimba Kiara.

Ini kerana kerajaan telah menegaskan bahawa kawasan hijau di Taman Rimba Kiara tidak akan terjejas akibat projek yang dirancang di sekitarnya.

Memetik laporan Wilayahku pada edisi 21 lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zaizalnizam Zainun menyatakan projek pembangunan yang pada asalnya diluluskan seluas 4.9 hektar telah dikecilkan skalanya kepada 3.2 hektar bagi menghormati permintaan penduduk TTDI.

Justeru salah seorang penduduk TTDI yang tinggal di Lorong Persiaran Zaaba yang dikenali sebagai Shanmugam turut mempersoalkan bantahan yang disuarakan segelintir pihak.

Malah katanya, pembangunan tersebut juga merupakan peluang besar kepada penghuni Rumah Panjang Bukit Kiara untuk mengecapi keselesaan selepas 37 tahun tinggal di rumah yang sempit dan daif.

“Kenapa penduduk TTDI tidak setuju? Mereka tidak kena-mengena dengan tanah yang digunakan kerana ia sepenuhnya milik YWP dan pembinaan itu bertujuan membela nasib penghuni rumah panjang.

“Saya antara penduduk TTDI yang sokong pembinaan projek pembangunan kerajaan kerana penghuni rumah panjang adalah golongan miskin dan perlu dibantu,” katanya.

Dalam pada itu, Shanmugam berharap pihak Kementerian Wilayah Persekutuan yang diterajui Menterinya, Khalid Abd. Samad tidak tunduk dengan bantahan dan desakan penduduk TTDI.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas