Berita

Isu kerakyatan: Pendengaran permohonan kebenaran merayu ditetapkan pada 14 Dis

- Diterbit 22 September 2022 2:30 PM MYT

MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 14 Dis ini untuk mendengar permohonan Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita untuk kebenaran bagi meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh warganegara Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan.

Peguam Abraham Au, yang mewakili Family Frontier dan kesemua wanita terbabit, ketika dihubungi mengesahkan bahawa tarikh itu ditetapkan pada pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Rasidah Roslee melalui e-Review.

Beliau berkata mahkamah akan mendengar permohonan Family Frontier bersama permohonan satu lagi kes seorang wanita berusia 24 tahun, Mahisha Sulaiha, yang turut gagal dalam tuntutannya bagi mendapatkan deklarasi mahkamah bahawa beliau berhak menjadi warganegara Malaysia.

Family Frontier dan keenam-enam wanita memfailkan permohonan itu pada 26 Ogos lepas untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 5 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 telah membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan bersejarah Mahkamah Tinggi bahawa kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Pada hari sama, panel hakim Mahkamah Rayuan menolak rayuan Mahisha terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2020 yang menolak saman yang difailkan beliau untuk mendapatkan deklarasi bahawa beliau berhak menjadi warganegara Malaysia.

Dalam kes sivil, litigan perlu mendapatkan kebenaran sebelum meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Family Frontiers dan enam wanita terbabit yang berkahwin dengan warga asing memohon perintah mahkamah agar semua agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan dokumen berhubung kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas