Agama

Isu fitnah seksual pendakwah… “Kita perlu bersangka baik” – Ustaz Saiful Islam

|
- Diterbit 25 Oktober 2021 12:49 AM MYT

ISU pendakwah dikaitkan dengan fitnah berkaitan seksual bukanlah perkara baharu. Ia lebih parah apabila menjadi bualan dalam media sosial.

Menurut Pengarah Urusan Utama Akademi Tahfiz Al Islah merangkap Ketua Mudir i Huffaz, Ustaz Saiful Islam Mohamed Naser, bersangka baik adalah kunci utama dalam berhadapan isu ini.

“Orang yang hebat pun terkena fitnah, inikan kita pula orang biasa.

“Dalam perkara sebegini (fitnah), kita ini manusia biasa. Kalau kita sempurna tanpa ada salah dan celanya, itu namanya malaikat.

“Kita sebagai sahabat atau teman, sama ada ingin memperbesarkan yang kecil atau hanya memadamkan kesalahan kecil itu.

“Bagi saya, serahkan perkara yang sebetulnya kepada ahlinya kerana kita ada pihak berkuasa.

“Kita perlu bersangka baik kerana selemah-lemah iman manusia adalah bersangka baik,” ujarnya kepada WILAYAHKU ketika ditemui dalam majlis pelancaran Tahfiz Online, i-Huffaz dan buku Makhraj Huruf di Putrajaya, baru-baru ini.

PENGARAH Urusan Utama Akademi Tahfiz Al Islah, Ustaz Saiful Islam Mohamed Naser, berharap masyarakat lebih mementingkan perpaduan dan bukannya mencari-cari keaiban orang lain.

Bagi Ustaz Saiful, menjaga ukhuwah sesama manusia lebih utama berbanding mencari keaiban orang lain.

“Daripada kita mencari salah masing-masing, lebih baik kita bersatu untuk kita mengharmonikan dan sebar luas dakwah kita kepada yang belum Islam. Itu lebih penting daripada kita mencari-cari keaiban yang sedia ada.

“Tentang kesalahan (yang dilakukan pendakwah), biarlah pihak berwajib yang jatuhkan hukuman. Saya mendoakan dan tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana mereka memainkan peranan masing-masing.

“Jangan kerana anak kita silap memakai selipar, kita menghukumnya dengan rotan.

“Kita kena berlapang dada. Jadilah laut yang luas supaya kita dapat telan sisa-sisa yang mengeruhkan dan menjadi pendamai,” jelasnya lagi.

PELANCARAN tahfiz online, i-Huffaz dan buku Makhraj Huruf

Berkenaan pelancaran tahfiz online, i-Huffaz dan buku Makhraj Huruf, ini adalah usaha atau alternatif dalam meneruskan pengajian pusat tahfiz yang kebanyakannya ditutup akibat pandemik COVID-19.

“i-Huffaz adalah program tahfiz online pertama di Malaysia. Ia bukan pengajaran yang biasa kerana kami ada tenaga pengajar yang tetap mengajar tahfiz ini secara online.

“Kami faham memang impak pembelajaran secara online tidak sama dengan hasilnya belajar secara fizikal, tetapi Kalau kita tak buat langsung, anak-anak akan terus hanyut dengan permainan atau hiburan online serta perkara-perkara yang tak berfaedah. Jadi kami kurangkan risiko di situ dan sediakan alternatif,” jelasnya.

Apa yang menarik, beli buku Makhraj Huruf hanya dengan harga RM99 dipakejkan sekali dengan pengajaran Al Quran secara online bersama pengasasnya Ustaz Jamal Al Qurtubi.

Untuk tahu lebih lanjut tentang i-Huffaz dan buku Makhraj Huruf, boleh layari fanoage Facebook dan Instagram : IHuffaz – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas