Berita

Istiadat pengurniaan pingat Wilayah Persekutuan terakhir disempurnakan YDP Agong

- Diterbit 1 Februari 2023 2:46 PM MYT

ISTIADAT Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat (DKBP) Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan hari ini, adalah yang terakhir disempurnakan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Baginda yang juga Yang di-Pertuan Agong ke-16 mula bersemayam di Istana Negara bermula 31 Januari 2019 menggantikan Sultan Muhamad V yang melepaskan jawatan tersebut sebelum ini.

“Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan pada pagi ini adalah merupakan kali terakhir yang dapat beta sempurnakan sebagai Yang di-Pertuan Agong,” titah baginda pada istiadat itu di Istana Negara hari ini.

Baginda bertitah bahawa kenangan bersemayam di kota metropolitan ini akan kekal abadi dalam sanubari Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong merasa sangat bertuah dan sukacita dengan keramahan serta budi pekerti warga kota metropolitan ini yang telah sudi menerima kedatangan beta berdua. Pepatah Melayu lama ada berkata ‘tidak kenal maka tidak cinta’.

“Menerusi keberangkatan beta berdua ke seluruh pelosok kota raya, pusat-pusat beli-belah, masjid dan surau, kedai dan pasar, serta ketika menjamu selera di restoran dan gerai, beta berdua merasa sangat teruja dapat mengenali rakyat beta daripada pelbagai bangsa dan agama yang sentiasa tidak lekang dengan senyuman, tidak lokek untuk bermesra dan tidak segan untuk berbual bicara,” titah baginda.

Al-Sultan Abdudullah bertitah bahawa nilai murni peradaban, toleransi dan kemesraan merentasi batas sempadan kemajmukan dan kepelbagaian masih lagi kukuh meskipun di sebalik kesibukan warga kota dengan urusan seharian.

“Rakyat perlu menjadikan nilai murni itu sebagai asas dan kekuatan untuk membentuk Malaysia sebagai negara yang maju dan disegani,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah dan menasihatkan supaya rakyat menghentikan segala pertikaian, jauhi perbalahan serta hindari permusuhan kerana perpaduan ialah kunci kepada masa depan negara yang gemilang.

“Sesungguhnya, menerusi agenda perpaduan, maka akan lahirlah sifat toleransi dan rasa kecintaan kepada negara, lantas menjadi resipi kepada keamanan serta kemakmuran negara,” titah baginda lagi. WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas