Berita

Isteri Menteri WP singsing lengan ‘merewang’ untuk rakyat 

DATIN Seri Shamsiah (kanan) turut membantu membungkus makanan yang akan diberikan kepada 1,000 penduduk PA Seri Kota hari ini.
- Diterbit 2 Disember 2021 1:47 PM MYT

PENDUDUK Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Kota hari ini bertuah apabila Isteri kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datin Seri Shamsiah Md Yassin turun padang menyingsing lengan memasak buat mereka.

Seawal pukul 9 pagi, beliau yang tiba tanpa protokol dengan berpakaian baju kurung berwarna hijau dilihat tidak kekok ‘bersilat’ di dapur malah bersemangat menyediakan juadah sebanyak 1,000 pek makanan untuk penduduk kawasan tersebut.

Katanya, aktiviti ‘merewang’ bersama rakyat ini sudah biasa dilakukan di negeri Perlis tetapi program ini merupakan yang pertama dilakukan olehnya di Wilayah Persekutuan.

“Di Perlis memang saya aktif memasak bersama rakyat lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan dimana saya bersama Jawatankuasa Wanita negeri Perlis akan masak dan sediakan makanan seperti bubur lambuk untuk anak-anak yatim.

“Saya tertarik untuk melakukan aktiviti ‘merewang’ bersama rakyat ini apabila melihat keadaan penduduk PPR/PA yang benar-benar memerlukan penyantunan daripada pihak atasan. Jadi saya mengambil kesempatan ini sebagai seorang isteri kepada seorang pemimpin turun padang menyantuni mereka dengan kaca mata sendiri,” katanya kepada pemberita sewaktu melangsungkan Program Warga PPR/PA sentiasa dihati.

Sementara itu, Ketua Chef program Warga PPR/PA Sentiasa dihati, Chef Hasnaerdawaty berkata, dia bersama pasukannya telah melakukan persiapan selama seminggu dari segi bahan mentah, barang-barang masakan dan peralatan.

“Saya bersama 25 orang pasukan Dapur Prihatin dan Sukarelawan PriVO tiba di sini seawal pukul 7 pagi dan kami mula memasak pada pukul 8.30 pagi.

“Menu-menu yang disajikan oleh pasukan saya pada hari ini ialah kari ayam kentang manakala sayur dan nasi putih disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Ahli Jawatankuasa Surau As-Syakirin,” katanya.

Difahamkan, selain daripada aktiviti merewang, dua agensi iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Yayasan Wilayah Persekutuan turut membuka kaunter perkhidmatan bagi tujuan mempromosikan jenis bantuan yang ditawarkan kepada penduduk sekitar yang berkelayakan untuk memohon bantuan.

Program Warga PPR/PA sentiasa dihati akan berlangsung selama 11 minggu di lain-lain kawasan PPR/PA. -WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas