Berita

IOW JaPen Labuan Guna Kaedah Serampang Dua Mata

KAKITANGAN JaPen mengedarkan risalah mengenai amalan kendiri 3W kepada orang awam di sekitar Labuan, baru-baru ini.
- Diterbit 22 Januari 2022 4:00 AM MYT

INFO On Wheels (IOW) Jabatan Penerangan (JaPen) Labuan dijalankan dengan mengguna pakai kaedah serampang dua mata.

Pengarahnya, Ab Rasil Hajatil berkata, pendekatan tersebut adalah hebahan secara terus dan membuat ‘engagement’ dengan masyarakat di lapangan.

“Hebahan mengenai maklumat atau isu-isu terkini agar masyarakat mendapat gambaran yang lebih jelas terhadap isu-isu semasa khususnya mengenai COVID-19 kerana kerjasama masyarakat dalam usaha mengekang penularan yang lebih serius di pulau ini amat diperlukan.

“Selain itu ‘engagement’ dengan masyarakat di lokasi –lokasi tumpuan juga dibuat dengan harapan masyarakat merasai kehadiran JaPen dalam menyampaikan maklumat serta dapat menyelami permasalahan yang perlu diselesaikan oleh pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Tambahnya, IOW turut membuat edaran bahan-bahan penerbitan terutamanya terbitan JaPen berkaitan isu-isu serta inisiatif pihak kerajaan.

“Edaran bahan penerbitan ini berkaitan juga dengan isu-isu semasa seperti persediaan yang perlu dilakukan semasa menghadapi bencana seperti banjir.

“Kita akan sentiasa mencari alternatif terbaik dalam usaha menyampaikan maklumat secara terus kepada masyarakat di Labuan,” katanya lagi.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penerangan, Roseemyzal Nordin berkata, masyarakat tempatan dilihat menerima baik pendekatan IOW JaPen Labuan.

“Sepanjang kami menjalankan pertugasan, masyarakat Labuan menerima pendekatan IOW dengan baik, kehadiran JaPen dalam masyarakat dapat dirasai terutama dalam usaha menyampaikan maklumat berkaitan isu nasional dan tempatan.

“Kami juga berharap usaha ini boleh mendidik masyarakat agar menerima maklumat yang sahih dan tidak mempercayai sebarang berita yang tidak sahih serta mengelirukan,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas