Berita

Intipati garis panduan masjid dan surau zon hijau Wilayah Persekutuan

- Diterbit 12 Jun 2020 1:56 AM MYT

BERIKUT adalah antara intipati Garis Panduan Perluasan Kapasiti Solat Jumaat dan Solat Berjemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini.

Garis panduan itu diguna pakai untuk umat Islam beribadat di masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan dalam zon hijau dengan perluasan bilangan kapasiti satu pertiga daripada had jumlah kapisiti bagi dewan solat utama bermula esok.

Ia juga merupakan pandangan dan nasihat untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri.

Melaksanakan penjarakan sosial di dalam dan di luar masjid.

Jarak antara ahli jemaah adalah sejauh satu meter antara satu sama lain dan jemaah wajib memakai pelitup muka.

Cara masuk dan keluar masjid mesti dengan beratur serta menjaga penjarakan yang terkawal.

Semua ahli jemaah yang hadir hendaklah mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah masing-masing sebelum hadir ke masjid.

Jika wuduk terbatal, anda dibolehkan untuk mengambil wuduk di pili air yang ditetapkan sahaja. Penggunaan kolah tidak dibenarkan.

Jemaah dipastikan terus bersurai dalam keadaan tenang.

Tidak ada bersalaman dan bersentuhan sepanjang berada di masjid, surau Jumaat dan surau.

Tiada perkumpulan dibenarkan selesai solat Jumaat sama ada di dalam atau di luar masjid.

Mewujudkan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran jemaah.

Melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wuduk sebelum dan selepas solat.

Penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada pada satu-satu masa.

Kehadiran direkodkan di dalam buku kehadiran atau aplikasi yang disediakan pihak jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau.

Pintu masjid dibuka hanya sejam sebelum azan dan ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas