Berita

Intan Ladyana kini sah isteri Harris, tidak tangguh soal anak

- Diterbit 5 Februari 2021 4:59 AM MYT

DENGAN sekali lafaz, pelakon Intan Ladyana,38,  kini sah menjadi isteri kepada pengacara dan penyanyi, Harris Alif,22, sekitar pukul 10 pagi, hari ini. 

Pasangan bahagia ini dinikahkan oleh Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Ustaz Muhammad Azlan Marukum selaku jurunikah dan juga wakil wali. 

Turut hadir dan menyaksikan penyatuan Harris dan Intan adalah Pendaftar Nikah, Cerai, Ruju’ Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustaz Nasir Abdullah.

Pada majlis itu, Harris menyerahkan mas kahwin berupa set perhiasan barang kemas dan sebentuk cincin berlian. 

Manakala barangan hantaran iaitu sembilan dulang daripada pihak pengantin perempuan berbalas tujuh dulang daripada pihak lelaki tidak dibawa bersama sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurut Harris, dia berasa lega apabila majlis nikah berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah.. kini kami sah sebagai suami isteri. Walaupun pada mulanya saya berasa agak gugup sebelum majlis, selepas akad nikah saya berasa lega sangat. 

“Menjadi suami adalah tanggungjawab baharu saya. Dahulu hidup bujang, sekarang sudah berdua. Mungkin selepas ini bertiga, berempat (anak).

“Kami pun tidak merancang soal anak. Bila-bila saja kami bersedia untuk ada anak. Insya Allah…” luah Harris.

Manakala Intan Ladyana juga sudah bersedia untuk menjadi seorang ibu walaupun banyak urusan yang tertangguh perlu diselesaikan.

“Insya Allah, tiba masanya nanti, saya akan fokus dan selesaikan kerja-kerja yang tertangguh, kemudian bila dah tak larat, saya akan berhenti shooting,” Jelas Intan yang menerima seadanya majlis nikah secara sederhana disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada mulanya, pasangan ini memilih 6 Februari 2021 sebagai tarikh pernikahan, bagaimanapun mereka memutuskan untuk menganjak tarikh sehari lebih awal daripada perancangan awal. Ia tidak lain disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berlangsung pada ketika ini.

Pada majlis terbabit, pasangan pengantin menyarung busana daripada Hatta Dolmat dan Epul Senitravision dan didandan oleh  Ian Sham dan Aqmal Adly.

Harris dan Intan turut ditaja Four Points by Sheraton sebagai lokasi persiapan nikah, Bella Hudd (Penata Gaya Hijab), Cempaka Inai (Artis Inai), Fillea Studio (Fotografi dan Videografi), Haeja Budiman (Bunga Tangan), manakala Hantaran by Ally menyediakan dulang hantaran.

Pada 5 Januari lalu, pasangan ini mengumumkan berita gembira bakal disatukan dan bernikah selepas mula menyulam cinta sejak Mac tahun lalu. 

Mengikut perancangan awal, pasangan ini turut mendapat tajaan lebih RM13.5 juta untuk beberapa majlis yang sepatutnya dilangsungkan termasuk malam berinai, majlis pernikahan, resepi dan majlis bertandang.

Namun majlis resepsi akan diadakan bergantung kepada arahan kerajaan memandangkan negara sedang diancam COVID-19. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas