Atlet Wilayah

Insyad bangga jejak pentas Sukan SEA 2023

INSYAD berjaya menghadiahkan pingat
- Diterbit 21 Mei 2023 2:00 AM MYT

“TERPILIH mewakili skuad negara di pentas Sukan SEA 2023 seawal usia 17 tahun merupakan permulaan yang baik bagi karier sukan saya,” kongsi atlet muda Wilayah Persekutuan, Insyad Rumijam.

Atlet muay thai itu mengakui biarpun gemuruh namun dirinya telah pun menampilkan aksi terbaik meskipun tidak berpeluang menghadiahkan sebarang pingat.

Alhamdulillah ia merupakan penampilan pertama saya dalam kejohanan berprestij seperti ini. Agak gemuruh namun saya yakin pada diri sendiri dengan berbekalkan latihan serta persediaan yang telah dilakukan. Saya sudah lakukan sehabis baik meskipun keputusannya agak kurang memuaskan.

“Saya dan juga abang (Wassof Rumijam) terpilih dalam acara kickboxing namun penyertaan saya terkandas di peringkat suku akhir manakala abang berjaya menghadiahkan pingat gangsa buat Malaysia. Ia merupakan pengalaman berharga buat kami berdua,” ujarnya yang berharap dapat mewakili skuad negara pada kejohanan akan datang.

Menjadikan atlet Thailand, Kaonar P.K. Saenchai Muaythaigym sebagai idola, Insyad berkata sejurus tamat Sukan SEA 2023, latihan serta persediaan akan terus dilakukan bagi menghadapi kejohanan akan datang Jun ini.

“Bulan hadapan saya akan ke Kejohanan Peringkat Profesional di Sabah sebagai persediaan sebelum Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024. Seterusnya persediaan rapi diikuti kem latihan berterusan sehingga tahun 2024 merupakan antara persediaan yang akan dilakukan,” ujarnya kepada Wilayahku.

Mula berkecimpung dalam sukan muay thai seawal usia lapan tahun, Insyad berkata sasarannya adalah untuk memberikan yang terbaik di setiap kejohanan yang disertai untuk penambahbaikan yang mantap.

“Seperti atlet yang lain, saya juga mensasarkan Olimpik sebagai pentas tertinggi dalam karier ini,” ujarnya.

Memikul tanggungjawab sebagai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun ini berkata dirinya perlu bijak dalam membahagikan masa.

“Jadual saya diurus oleh abang serta keluarga. Waktu pagi saya akan ke sekolah sementara sesi latihan akan diteruskan pada waktu malam. Untuk Sukan SEA ini saya mendapat pelepasan selama dua minggu daripada pihak sekolah,” ujarnya yang sentiasa menghubungi rakan-rakan untuk mengulang kaji subjek yang tertinggal. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas