INSOMNIACKS Muncul Dengan Lagu Reminisensi Versi Piano Pula!

INSOMNIACKS Muncul Dengan Lagu Reminisensi Versi Piano Pula!

SATU pencapaian membanggakan buat kumpulan Insomniacks apabila jumlah tontonan video lirik Reminisensi di YouTube telah mencecah 1 juta tontonan, selepas empat bulan dilancarkan.  

Terbaru, lagu Reminisensi versi piano pula telah mencecah lebih 30,000 tontonan selepas dilancarkan seminggu lalu.

Kumpulan yang dianggotai Iqie, Wan Arif Iskandar, Danial Doodye dan Gavin Wong ini mahukan kepuasan dalam berkarya menerusi versi berbeza itu. Daripada pendekatan ini juga, ia membuka mata ramai bahawa terjemahan karya mereka ada warna-warninya.

“Sudah menjadi tradisi buat band pop-punk untuk melakukan versi ‘stripped down’ terhadap lagu-lagu mereka. Berdasarkan pengamatan kami, ia benar-benar seronok apabila dinikmati oleh penyokong kami.

“Paling penting, semestinya kami sendiri seronok dan mendapat kepuasan dengan menghasilkan versi berbeza ini,” katanya. 

Menurut Iqie lagi, melodi Reminisensi versi piano tidak diubah keterlaluan namun apa yang pentingg adalah suntikan elemen emosi. 

“Emosi yang kami tampilkan menerusi vokal tidak banyak berbeza pun dengan versi asalnya. Cuma, versi ini sedikit perlahan dan saya boleh cakap, keharmonian dalam permainan instrumen sebenarnya membuatkan versi itu lebih beremosi.

“Saya rasa, pencarian kod baru untuk dipadankan dengan emosi kami ada sedikit mencabar. Selain itu, prosesnya secara keseluruhan sangat menyeronokkan dan kami sangat gembira dalam studio,” katanya lagi.

Reminisensi versi piano boleh dimuat-turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Sebelum ini Insomniacks pernah tampil dengan versi piano untuk lagu hit mereka yang berjudul Pulang. – WILAYAHKU

 

CATEGORIES
TAGS