Berita

Insiden kilang meletup turut gegarkan lapangan terbang, hospital di Bangkok

LETUPAN besar tersebut mencederakan sekurang-kurangnya 20 orang dan ratusan lagi terpaksa dipindahkan. Kredit foto oleh: FM91 Trafficpro/ BERNAMA LETUPAN besar tersebut mencederakan sekurang-kurangnya 20 orang dan ratusan lagi terpaksa dipindahkan. Kredit foto oleh: FM91 Trafficpro/ BERNAMA
- Diterbit 5 Julai 2021 8:28 AM MYT

LETUPAN besar yang berlaku di kilang pembuatan busa dan palet plastik di pinggir Bangkok pagi ini turut menggegarkan beberapa bangunan berdekatan, termasuk terminal Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Hospital Chularat 9.

Sekurang-kurangnya 20 orang cedera dan ratusan lagi terpaksa dipindahkan, termasuk lebih 100 pesakit di unit rawatan rapi serta pesakit COVID-19 di hospital berkenaan.

Kebakaran yang berlaku 2.50 pagi (waktu tempatan) di kilang di daerah Bang Phli, wilayah Samut Prakan itu turut menyebabkan bangunan dan rumah berdekatan mengalami kerosakan. Kepulan asap hitam turut kelihatan.

Mangsa yang cedera termasuk lima sukarelawan, manakala 70 rumah dan 15 kenderaan rosak.

Ketua Pencegahan dan Pengurangan Bencana Daerah Bang Phli, Somsak Kaewsena berkata penduduk yang tinggal dalam jarak lima kilometer diarahkan berpindah.

Bangkok Post melaporkan kilang itu mempunyai kira-kira lima atau enam gudang yang menyimpan 50 tan bahan kimia.

Letupan itu menggegarkan bangunan terminal di Lapangan Terbang Suvarnabhumi namun operasi lapangan terbang berjalan seperti biasa.  – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas