Berita

Inisiatif melalui BPE legakan pengguna

MIMAH menunjukkan inisiatif baharu yang melegakan pengguna.
- Diterbit 7 Ogos 2020 4:00 AM MYT

KALANGAN pengguna yang telah pun menerima penyata penggunaan elektrik secara terperinci beserta bil bagi bulan Julai, ternyata memahami kaedah perincian pengiraan yang
digunakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Inisiatif TNB mengemukakan informasi terperinci kadar  elektrik diguna dan nilai Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) layak diterima setiap pelanggannya bukan sahaja melegakan mereka, sebaliknya juga disambut positif oleh pelbagai pihak termasuklah persatuan penduduk.

Rata-rata mereka memuji syarikat penyedia utiliti elektrik itu sambil amat menghargai keprihatinan kerajaan memperuntuk RM942 juta melalui BPE memanfaatkan 7.66 juta pengguna, dianggap tepat dalam meringankan beban kewangan rakyat yang berdepan kesukaran akibat wabak Covid-19.

Bagi Presiden Persatuan Penduduk Bangsar Baru Datuk Joseph George, mengakui rujukan penyata diberikan TNB terperinci dan telus, selain mudah difahami oleh setiap pelanggan terbabit.

Beliau berkata, maklumat lengkap tertera secara langsung tidak akan dipersoalkan oleh pengguna kerana perinciannya jelas dan menunjukan kadar penggunaan elektrik bagi tempoh masa tertentu.

“Boleh saya katakan, maklumat tertera dalam bil menyeluruh,
perincian elektrik diguna mengikut masa dan caj amaunnya turut dicatatkan. Jadi, penduduk (pengguna) tidak harus
persoal semua data dan kadar penggunaan elektrik telah direkod untuk rujukan dan makluman mereka.

“Dengan semua maklumat ini, pengguna mudah faham tanpa
perlu hubungi TNB bertanya itu dan ini. Semua jelas dalam Penyata Terperinci, saya suka notis diberi terus kepada pengguna beserta bil Julai,” katanya sambil menyifatkan rebat TNB tepati peranan korporatnya di dalam menggalas
tanggungjawab sosial dengan baik.

Sementara itu, A. Parameswaram pula berkata, selain senang difahami, Penyata Terperinci TNB turut tunjukan kadar purata penggunaan elektrik bulanannya iaitu sekitar 300kWh.

Namun katanya, selepas menerima diskaun rebat TNB melalui inisiatif BPE, bil elektriknya negatif dan ini jelas menunjukkan
TNB sangat proaktif di dalam usahanya membantu kebajikan
rakyat.

“Sebagai manusia, kita semua suka complain dan kita tidak nampak apa yang positif. Jadinya, bagi saya TNB sangat proaktif kerana jika bantuan lain selalunya kita kena mohon
isi borang, sebelum ia disahkan baru kita dapat.

“Tetapi, berbeza dengan TNB terus beri bantuan tanpa tanya,
tanpa apa-apa borang. Jadi ini jelas menunjukkan TNB sendiri
sudah faham apakah keperluan pengguna,” katanya yang juga bekas Pengetua Vokasional Bentong, Pahang.

Bagi Sukarelawan Pertubuhan Wanita Sihat Kuala Lumpur (PWSKL), Samiah Sohed, penyata yang dikeluarkan TNB sangat membantu dirinya untuk memahami berkenaan kadar
elektrik diguna dan caj yang dikenakan.

“Penyata TNB sudah jelas tunjukkan kadar serta caj dikenakan
sejak bulan pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP), Mac lalu. Ia juga tertera diskaun dan bantuan diberikan
untuk pelanggan sehingga bulan kedua dan ketiga. Jadi sebagai ibu tunggal, bantuan TNB ini pasti dapat membantu mengurangkan beban saya,” katanya.

Eksekutif MRCB, Mimah Mohd Tajuddin pula berkata, “Bil Julai saya baru terima minggu lepas.

Penyata TNB saya tidak tengok dengan teliti, namun saya dan suami tahu daripada penyata itu, kami dapat 15 peratus diskaun elektrik termasuklah Bantuan Prihatin bermula April sehingga Jun 2020.

“Saya dan suami hilang 40 peratus pendapatan sepanjang tempoh PKP lalu, jadi bantuan TNB ini sangat membantu golongan B40 seperti saya,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas