Berita

Ingin buka sekolah terjunan BASE

|ADI lonjakkan nama Putrajaya dalam sukan BASE Jump. |AKSI bersahaja Adi ketika melakukan aksi terjunan.
- Diterbit 13 Mac 2020 8:39 AM MYT
ADI lonjakkan nama Putrajaya dalam sukan BASE Jump.

SUKAN terjunan BASE adalah sukan yang sangat berisiko tinggi. Pendek kata hanya mereka yang berani mati sahaja sanggup menyertai sukan udara ekstrem dengan lompatan pada ketinggian tertentu ini.

Penerjun seolah-olah mempertaruhkan nyawa pada setiap kali terjunan kerana mereka hanya bergantung kepada payung terjun sahaja.

Justeru perkara asas mengenai keselamatan perlu di ambil kira seperti keadaan payung, brek, beg payung dan kaedah lipatan bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Disebabkan itu, penerjun perlu merancang penerjunan dan tidak bertukar perancangan di saat akhir selain peka dengan setiap keadaan seperti arah angin, kelajuan angin dan sebagainya.

“Terjunan BASE adalah satu sukan tanpa kesilapan bagi mengelakkan kecelakaan,” jelas penerjun BASE berpengalaman, Adi Khirman Marji, 38, yang berasal dari Johor Bahru.

Bercerita tentang penglibatannya dalam sukan ini, menurut Adi, pada tahun 2012, dia mula menjinakkan diri dalam sukan terjun udara dengan mengambil kursus asas payung terjun di Segamat, Johor melalui sebuah kelab awam.

Seterusnya, dia semakin teruja dan mengambil kursus lanjutan sebanyak sembilan tahap sehingga layak melakukan terjunan solo tanpa pengawasan tenaga pengajar.

“Pada tahun 2014, saya membuat keputusan untuk menceburkan diri dalam sukan terjunan BASE (terjunan dari objek tidak bergerak) dan terus bergiat aktif sehingga kini,” ujar Adi.

Berkongsi cabarannya dalam sukan tersebut, menurut penerjun tunggal Perbadanan Putrajaya (PPj) ini, terjunan BASE memakan kos agak besar pada peringkat awal.

“Terus terang saya telah menghabiskan lebih RM50,000 untuk sampai ke tahap ini. Namun saya agak beruntung kerana ditaja satu unit payung oleh PPj,” ujarnya.

Selain itu, menurut Adi, dia juga sering berdepan dengan cabaran mencari lokasi terjunan kerana sukar mendapat sokongan untuk melakukan aksi lompatan daripada pemilik bangunan.

“Saya faham ketakutan bagi pemilik bangunan untuk memberi kelulusan tetapi sebagai penerjun berpengalaman, saya juga tidak sesuka hati membawa penerjun untuk terjun bersama.

“Ini kerana saya meletakkan standard bagi penerjun yang ingin mencuba membuat terjunan lebih-lebih lagi di tempat yang pertama kali bagi mereka,” ujar pemegang Sarjana Keusahawanan dan Inovasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.

Sebagai seorang penerjun profesional, Adi mengakui ketakutan adalah dugaan paling besar untuk dilawan terutama semasa proses pengembangan payung.

“Ada kalanya proses pengembangan tidak sempurna dan tindakan pantas perlu diambil. Ini semua hasil daripada pembelajaran dan pengalaman,” ujarnya kepada Wilayahku.

AKSI bersahaja Adi ketika melakukan aksi terjunan.

Sokongan

Dek kerana minat yang mendalam dalam sukan mencabar ini, anak ketiga daripada lima orang adik-beradik ini bercita-cita untuk mengendalikan sekolah terjunan BASE Malaysia bersama rakan-rakan.

“Saya juga berharap akan mendapat sokongan daripada pihak kerajaan ke arah ini agar satu nanti lebih ramai penerjun dalam kalangan belia Malaysia menceburi sukan ini.

“Untuk bergelar penerjun adalah satu tugas yang sangat berat kerana mereka perlu membuat pengorbanan dari segi wang ringgit dan berdepan ke­sulitan sewaktu penerjunan.

“Ramai yang melihat aksi terjunan ini menarik dan tertarik tetapi proses awalnya amatlah sukar,” ujarnya yang mencatatkan rekod terjunan BASE sebanyak 208 kali dan terjun udara sebanyak 385 kali.

Tahun ini, Adi bakal terlibat dengan kejohanan besar antaranya Astaka Johor BASE Jump pada 26 hingga 28 Mac 2020, Hatten Melaka BASE Jump, 1 hingga 3 April 2020 dan Menara Taming Sari Melaka, 4 hingga 5 April 2020.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas