Berita

Indra Putra tidak fikir soal persaraan

INDRA ketika beraksi pada perlawanan pemanas badan di Stadium Kuala Lumpur baru-baru ini
- Diterbit 12 Februari 2020 8:41 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pemain bola yang tidak asing lagi, Indra Putra Mahayuddin, 38, masih mahu menabur bakti dan mengerah keringat bersama pasukan Kuala Lumpur (KLFA) yang diwakilinya musim ini biarpun menyedari diri sudah berusia.

Malah, dia juga menyatakan tidak mahu terlalu memikirkan soal persaraan buat masa ini kerana menyedari tugas dan tanggungjawabnya bersama skuad The City Boys masih belum selesai.

“Sebagai pemain sudah pasti saya mempunyai misi dan sasaran tersendiri. Selagi khidmat diperlukan, saya akan terus membantu pasukan dan akan cuba menjaringkan gol semampu yang boleh.

“Saya masih mahu beraksi dan kalau ada rezeki akan bersara di sini (Kuala Lumpur). Sebelum itu, sebolehnya ingin membantu pasukan kembali beraksi dalam saingan Liga Super tahun hadapan. Itulah sasaran utama saya ketika ini,” ujarnya.

Kempen Liga Malaysia 2020 bakal membuka tirainya secara rasmi pada 28 Februari ini dan Kuala Lumpur akan membuka tirai Liga Perdana 2020 menentang pasukan Kelantan di Stadium Sultan Mohamad IV pada 29 Februari 2020. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas