Berita

Indonesia sasar hasilkan 2 juta kit ujian PCR sebulan

- Diterbit 22 Oktober 2020 8:54 AM MYT

MENTERI Penyelidikan dan Teknologi Indonesia Bambang Brodjonegoro, merangkap ketua Badan Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN) berkata kerajaan menyasarkan untuk menghasilkan dua juta kit ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) COVID-19 setiap bulan.

Menurut Jakarta Post, kerajaan bekerjasama dengan syarikat farmasi milik negara, PT Biofarma untuk menghasilkan kit ujian PCR tersebut.

“Pengeluaran kini dianggarkan 1.5 juta unit sebulan dan akan meningkat kepada dua juta unit sebulan,” katanya.

Selain kit ujian PCR, konsortium penyelidikan COVID-19 BRIN juga menghasilakn kit ujian pantas berasaskan antibodi, yang kini dihasilkan kira-kira 350,000 unit sebulan.

“Diharapkan, pengeluaran (kit ujian pantas berasaskan antibodi) dapat mencapai sejuta unit sebulan menjelang akhir tahun ini,” kata Bambang.

Kerajaan telah bekerjasama dengan dua syarikat swasta untuk menghasilkan alat ujian pantas berasaskan antibodi tersebut dan berharap dua syarikat swasta tempatan yang lain akan bergabung dalam usaha ini.

Penghasilan kit ujian PCR adalah sebahagian sembilan langkah inovatif yang diambil konsortium untuk menyokong kemajuan tindak balas pandemik Indonesia. Konsortium itu melibatkan institusi negara serta sektor swasta dan universiti yang mahir dalam kajian berkaitan kesihatan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas