Berita

Imuniti kelompok: Selepas Labuan, Kuala Lumpur menyusul

- Diterbit 21 Ogos 2021 2:00 AM MYT

KETEGUHAN Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dengan kerjasama Jawatankuasa Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) melandaikan lekuk jangkitan dan memerangi pandemik COVID-19 dilihat berhasil apabila Kuala Lumpur tampil sebagai wilayah kedua mencapai sasaran imuniti kelompok pada bulan ini, selepas Labuan mencapainya pada 27 Julai lalu.

Kejayaan yang dicapai menerusi pelbagai kaedah termasuk pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) yang dirintis sebagai ikhtiar untuk membendung wabak tersebut juga menjadikan Kuala Lumpur sebagai antara bandaraya terawal di dunia mencapai imuniti kelompok bagi penduduk dewasa.

Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar berkata, pencapaian itu sekali gus membuktikan warga Kuala Lumpur telah bersedia untuk beralih ke fasa seterusnya di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membawa hala tuju untuk merancakkan kembali sektor ekonomi di ibu negara.

“Seperti yang kita ketahui, Kuala Lumpur adalah nadi kepada pembangunan negara dan usaha untuk merancakkan semula bandaraya ini akan dipergiatkan selaras dengan imejnya di samping menjadi contoh kepada bandaraya lain dalam negara kita.

“Justeru itu, program untuk ‘memerdekakan’ Kuala Lumpur daripada COVID-19 mestilah dirancang dengan teliti dari semua aspek terutama kebolehjangkitan melalui varian baharu dapat ditangani supaya ia tidak merencatkan pembangunan semula Kuala Lumpur,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas